Penduduk di kawasan kerap banjir terima vaksin - Utusan Malaysia

Penduduk di kawasan kerap banjir terima vaksin

PENDUDUK Rantau Panjang yang terjejas dengan banjir mulai menerima suntikan vaksin di PPV Bergerak Masjid Beijing, Rantau Panjang, Kelantan pada 26 Jun 2021. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Jabatan Kesihatan negeri mula memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk yang tinggal di lokasi mudah dinaiki air di daerah ini dan Rantau Panjang bagi mengelak risiko berlakunya kluster ‘banjir’ apabila musim tengkujuh melanda. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, suntikan menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak itu bertujuan memastikan penduduk terbabit mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

“Ini  usaha proaktif jabatan bagi memastikan liputan vaksinasi dapat diberikan kepada penduduk sebelum musim tengkujuh tiba.

“Saban tahun kawasan Rantau Panjang dan Pasir Mas khusus berhampiran Sungai Golok ditenggelami banjir. Jadi bila langkah ini diambil, insya-Allah kita berjaya kurangkan risiko jangkitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau,  program PPV Bergerak Vaksinasi Covid-19 yang bermula semalam menyasarkan untuk menyuntik seramai 1,200 penduduk.

Katanya, ia melibatkan lima lokasi iaitu Banggol Naim di Gelang Mas, Meranti, Banggol Setol, Masjid Beijing dan Lubok Stol.

“Jabatan Kesihatan negeri berharap penduduk yang nama mereka tersenarai untuk menerima vaksin supaya hadir mendapat suntikan di PPV Bergerak yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, penduduk Azita Yusoff, 46, mengakui gembira dengan pendekatan yang diambil kerajaan  kerana memberikan kemudahan kepada penduduk untuk mendapatkan suntikan tanpa perlu keluar jauh.

“Bila sudah disuntik, ia memberi keyakinan saya dan keluarga apabila kami dikehendaki berpindah ke PPS nanti,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN