PETALING JAYA: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat agak komprehensif dan mengambil kira kesengsaraan serta kesulitan yang dihadapi rakyat.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, pakej bantuan tu agak menyeluruh dengan melibatkan segenap lapisan masyarakat dari setiap kelas pendapatan.
Kata beliau, suntikan fiskal dan bantuan tunai dalam bentuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) amat diperlukan dan dapat memastikan kelangsungan kehidupan mereka yang amat terkesan.
Tambahan lagi, menurut beliau, bantuan turut diluaskan kepada golongan yang baru menyertai alam pekerjaan serta bantuan kepada majikan yang terkesan dalam bentuk subsidi upah juga amat baik.
“Moratorium yang hampir automatik kepada semua tanpa syarat kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan dan terbuka kepada semua segmen pendapatan, baik B40, M40 mahupun T20 amat dihargai dan dialu-alukan.
“Saya katakan hampir automatik kerana masih ada urusan permohonan dan pengesahan. Harap pihak perbankan dapat memudahkan segala urusan ini dan diharap juga ada penjelasan terperinci mengenai faedah atau kadar keuntungan semasa tempoh moratorium sama ada ia masih dikenakan atau sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baharom berharap golongan berpendapatan sederhana dan tinggi yang turut mendapat bantuan dalam pakej ini mempertimbangkan untuk membantu golongan yang benar-benar terkesan.
Menurut beliau, ia boleh dilakukan dengan memberikan bantuan berbentuk tunai secara persendirian atau bantuan bakul makanan, bermula dari sanak-saudara, kenalan atau jiran tetangga.
Beliau turut berpendapat program i-Citra yang diperkenalkan bagi membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 mereka sebagai munasabah.
“Ia mengimbangkan keperluan semasa dengan keperluan usia tua. Sebarang pengeluaran yang dibuat oleh pencarum haruslah dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM150 bilion merangkumi suntikan fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.
Muhyiddin berkata, Pemulih bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi. – UTUSAN










