PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka belajar di universiti di luar negara atau dalam negara sekali pun.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, sekian lama ibu bapa mempunyai kebebasan memilih manakala yang berkemampuan, mereka boleh membayar yuran pengajian institut pengajian tinggi (IPT) di mana-mana negara.
Katanya, semua IPT termasuk di luar negara mempunyai syarat tersendiri, walaupun syarat minimum, seseorang itu boleh belajar di situ.
“Ia berbeza dengan pelajar Malaysia yang mendapat biasiswa kerajaan, maka, sudah pastinya, pelajar itu dihantar ke IPT pilihan mereka yang mempunyai pengiktirafan kerajaan dan agensi berkaitan.
“Bagi mereka yang pergi sendiri, pilihan di tangan masing-masing kerana ada yang memakai ejen, ada yang ‘walk in’ dan ada yang mendaftar ketika pameran pendidikan di negara itu. Namun, masalah timbul apabila IPT itu tidak diiktiraf Malaysia, maka pelajar persendirian ini menghadapi masalah melibatkan syarat di negara ini,” katanya semalam.
Beliau mengulas isu pelajar perubatan di Mesir yang berkemungkinan tidak dapat menjadi pengamal perubatan di negara ini.
Kata sumber itu, ramai salah faham apabila melibatkan pelajar tempatan yang menyambung belajar di luar negara maka individu itu di bawah KPT sedangkan sempadan negara terbuka untuk sesiapa sahaja.
“Ada pergi melancong, ada yang jumpa keluarga, ada yang pergi mencari peluang malah yang pergi belajar guna duit sendiri pun ramai,” katanya.
Beliau berkata, seperti dalam isu pendidikan maka sudah pasti pelajar yang di bawah agensi kerajaan dijamin segala aspek terutama aspek kelayakan.
“Bagi mereka yang pergi sendiri pula, risiko ditanggung sendiri kerana ada yang tidak melaporkan aktiviti mereka di kedutaan tetapi muncul apabila berlaku masalah seperti sekarang,” katanya.
Ujarnya, ramai pelajar persendirian memohon ke universiti di luar negara tetapi ia berbeza jika mahu masuk universiti awam di bawah KPT, ia perlu melalui saluran ditetapkan namun jika masuk IPT swasta, mereka mohon secara terus. – UTUSAN











