PETALING JAYA: Masalah peranti dan kekangan capaian internet terus membelenggu proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pelajar terutama yang tinggal di luar bandar walaupun kerajaan terus berusaha memastikan masalah itu diatasi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya mengakui masih berlaku keciciran pelajar yang bukan sahaja melibatkan kawasan pedalaman malah di bandar apabila keluarga tidak mampu untuk membeli peranti dan internet.
Menurut beliau, tiada cara penyelesaian lebih tuntas melainkan kerajaan perlu memperuntukkan satu dana besar menangani masalah pemilikan peranti dan capaian internet yang belum selesai setelah lebih setahun pelaksanaan PdPR sejak Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada tahun lalu.
Terdahulu, pada sidang akhbar Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan sebanyak 12,887 daripada 150,000 unit komputer riba dilengkapi akses internet selama setahun sudah diagihkan kepada murid dalam kalangan keluarga B40, setakat kelmarin.
Aminuddin berkata, masalah itu perlu menjadi perancangan jangka panjang dan besar kerajaan dalam Belanjawan 2022 dengan menetapkan sejumlah peruntukan kerana isunya sekarang bukan soal modul pembelajaran dan pemantauan, tetapi berkaitan peranti yang menjadi asas penting PdPR.
“Hal ini kerana pembelajaran PdPR lebih berkesan adalah secara ‘real time’ iaitu secara langsung meskipun dalam talian. Dengan kaedah ini, guru dapat memantau sejauh mana pencapaian murid-murid seperti mana dalam kelas.
“Memang tidak dinafikan PdPR menekankan dua aspek iaitu selain pembelajaran secara dalam talian, keduanya adalah latihan modul yang diambil ibu bapa di sekolah, tetapi dengan kekangan iaitu sekatan pergerakan penuh telah membataskan pergerakan mereka berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi di sini.
Pada sidang akhbar sama, Radzi turut mengumumkan sesi PdPR akan berlangsung selama 25 hari bermula sesi dibuka pada 13 Jun bagi empat negeri iaitu Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu manakala selebihnya pada 14 Jun ini.
Perkara itu berjalan sehingga sesi cuti pertengahan penggal sekolah pada 16 dan 17 Julai ini.
Dalam pada itu, Aminuddin meminta pejabat pendidikan daerah (PPD) tidak menganggu guru dengan tugasan pelaporan pembelajaran harian sehingga mereka tidak fokus kepada persiapan PdPR.
Pihaknya menerima banyak rungutan guru dengan masalah tersebut meskipun tujuan laporan itu untuk melihat sejauh pencapaian terhadap pelaksanaan pembelajaran.
“Benda ini tiada impak jika tiada penyelesaian tuntas iaitu masalah peranti. Setiap hari guru kena buat laporan sama dan masalahnya berulang iaitu pelajar tiada peranti untuk belajar.
“Boleh buat pelaporan, tetapi secara mingguan, janganlah setiap hari sehingga membebankan guru. Mereka nak buat persiapan modul, apatah lagi untuk menyemak kerja rumah murid,” katanya.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd. Alif Anas Md. Noor pula berkata, sejauh mana kejayaanPdPR bukan hanya bergantung kepada guru malah ibu bapa sendiri dengan memastikan anak-anak dapat mengikuti pembelajaran.
Menurut beliau, guru melakukan sedaya upaya agar pengajaran dilaksanakan meskipun di rumah namun memerlukan pemantauan di rumah.
“Selain itu, ramai ingat PdPR hanya pembelajaran secara alam maya, sedangkan ia dijalankan dengan penyediaan modul dan situasi ini penting kepada faktor geografi luar bandar dan kesesuaiannya di kawasan tiada internet.
“Melalui kaedah ini, penyediaan modul sama ada ibu bapa sendiri mengambilnya di sekolah atau dihantar ke rumah,” katanya.
Menurut beliau, tahap ukuran pencapaian pelaksanaan PdPR bergantung kepada modul latihan dan peperiksaan dengan guru dapat memberikan lebih tumpuan kepada pelajar tercicir.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan sepatutnya menjawab beberapa persoalan penting berkaitan sesi PdPR dan bukannya lebih berkisar mengenai taklimat pengurusan.
Menurut beliau, ibu bapa dan masyarakat memerlukan lebih daripada sekadar input tarikh dan jadual bahkan tidak banyak agenda baharu khususnya mengenai perancangan program Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan keciciran pembelajaran dan usaha mereka membantu guru menghadapi PdPR.
“Persoalan lebih besar apakah ada strategi untuk segerakan agihan 150,000 peranti kepada pelajar B40? Sudah hampir dua tahun PdPR dilaksanakan, semakin ramai pelajar khususnya keluarga B40 yang keciciran pembelajaran. Apakah ada skim pinjaman mudah, baucar atau subsidi untuk ibu bapa membeli komputer?
“Dan apakah ada program khas bagi penambahbaikan kursus dan latihan guru berkaitan PdPR? Berapakah bajet yang diperuntukkan oleh kementerian untuk tujuan kursus dan latihan guru untuk PdPR? Serta mengapa tidak diwujudkan segera sebuah Pusat Inovasi dan Pembangunan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran untuk PdPR dan bahan-bahan ini disebarluaskan kepada para guru?” soalnya.
“Sepatutnya kementerian kongsikan juga kejayaan sekolah contoh PdPR, PIBG contoh PdPR, guru contoh PdPR, pengetua contoh PdPR, PPD contoh PdPR, ibu bapa contoh PdPR,” katanya.- UTUSAN










