LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan, kerajaan perlu memanggil sidang Parlimen lebih awal daripada tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung perkara berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, notis tersebut boleh diawalkan tanpa perlu menunggu tempoh 14 hari kerana notis boleh dikeluarkan lebih awal.
Menurutnya, persediaan untuk mengadakan persidangan Parlimen juga boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat sahaja.
“Kita minta lebih awal, sepatutnya hari ini dah ada (notis memanggil sidang Parlimen).
“Kita nak hadir, kita bukan nak (Parlimen) hibrid,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program suntikan vaksin di Dewan As-Syifa, Padang Matsirat di sini, hari ini.
Akhbar pada 17 Jun lalu melaporkan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Seri Paduka bertitah, keputusan itu bagi membolehkan Ordinan-Ordina Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, beliau kesal walaupun Yang di-Pertuan Agong memberi pandangan sidang Parlimen boleh diadakan dengan segera, tetapi kerajaan didapati tidak mahu mengadakannya dengan segera.
“Yang di-Pertuan Agong kata boleh ada (sidang Parlimen) tetapi kerajaan tak nak,” ujarnya,
Dalam pada itu, beliau berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan tempoh persidangan Parlimen yang dicadangkan pada September atau Oktober adalah tidak tepat kerana tempoh tersebut bukan segera.
“Ia habis lama pun 14 hari dan Agong kata dah boleh diadakan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE