Malaysia tidak hipokrit isu PATI Rohingya - Utusan Malaysia

Malaysia tidak hipokrit isu PATI Rohingya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia sentiasa konsisten dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa sejak sekian lama terutamanya isu yang memerlukan pembelaan khususnya berkaitan penindasan dan ketidakadilan sosial.

Begitupun, peranan masyarakat Malaysia yang terkenal dengan keprihatinan juga menjadi faktor penting dalam mengangkat dan membela apa jua isu kemanusiaan yang berbangkit. Pengemblengan usaha sebegini memberi banyak impak yang positif dan ia harus diteruskan.

Malaysia dan masyarakatnya harus menjadi tauladan dalam mengangkat isu-isu kemanusiaan yang melangkaui batasan agama, bangsa dan negara.

Menyentuh isu Palestin dan Rohingya, tidak timbul soal negara bersikap hipokrit dan selektif dalam mengangkat nasib mereka yang tertindas kerana ia merupakan dua keadaan yang berbeza.

Palestin memperjuangkan kebebasan negaranya daripada cengkaman Zionis dan mereka tidak pernah menjadi ancaman kepada negara ini.

Sebaliknya, etnik Rohingya pula melarikan diri daripada penindasan kekejaman kerajaan junta Myanmar yang menyebabkan aliran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ketiga dalam skala besar dan berterusan sejak bertahun lalu.

Pencerobohan etnik Rohingya sudah pastinya memberi kesan apabila kebanjiran PATI dalam negara dan sudah tidak dapat dikawal menyebabkan berlakunya masalah sosial yang ketara dan peningkatan kes-kes jenayah rentas sempadan.

Menurut Persatuan Majikan Malaysia, pada April 2020 terdapat lebih kurang 3.3 juta PATI berbanding 2.2 juta pekerja yang berdokumen. Statistik ini amat mencemaskan lebih-lebih lagi lebih 200,000 PATI Rohingya tidak dapat dikesan.

Pada awal tahun ini pula, kira-kira 281 PATI Rohingya dilaporkan telah melarikan diri dari Kem Perlindungan Sementara Lhokseumawe, Acheh yang terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak, cuba menyusup masuk ke negara ini.

Lanjutan perkembangan terkini di Acheh Timur, seramai 81 PATI Rohingya yang terdampar di Pantai Kuala Simpang Ulim, Acheh Timur dipercayai turut berusaha untuk memasuki Malaysia.

Keadaan ini mendesak kerajaan Malaysia melalui pelbagai pendekatan bagi memperkukuhkan dan memperkasakan kawalan sempadan dari pencerobohan PATI. National Task Force (NTF) yang diterajui ATM dengan penglibatan 18 agensi penguatkuasaan, ditubuhkan bagi mengekang dan membanteras aktiviti jenayah di persempadanan daratan, maritim dan udara.

Setakat 30 April 2021,  sejumlah 13,480 PATI dan 1,026 tekong telah berjaya ditangkap melibatkan seramai 6,349 PATI  dari Indonesia, Myanmar (1,753) , China (922) dan selebihnya daripada pelbagai negara lain.

Tindakan penangkapan PATI dan tekong secara agresif telah memberi mesej jelas kepada sindiket penyeludupan manusia bahawa pintu sempadan negara sentiasa dikawal ketat bagi menghalang kebanjiran PATI terutamanya dalam situasi genting negara menangani pandemik Covid-19 ketika ini.

Isu keselamatan dan kedaulatan sentiasa menjadi keutamaan negara dan pasukan keselamatan menerusi NTF terus mendukung dan mempertingkatkan penguatkuasaan kawalan sempadan dari diceroboh oleh anasir-anasir yang tidak diingini.

Dalam hal ini, pelbagai pihak tidak harus mempertikai  tindakan kerajaan dalam menjamin kestabilan negara. Yang nyata, peranan rakyat dalam mendokong usaha-usaha kerajaan dan pasukan keselamatan perlu dizahirkan dengan sepenuhnya agar negara terus mengecapi keamanan dan kemakmuran yang berkekalan.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya