KLANG: Tindakan menegur sekumpulan individu yang memandu kereta secara laju di dalam kawasan perumahan menjadi punca seorang lelaki dan keluarganya diserang dalam kejadian di Jalan Sungai Jati di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, lelaki berusia 37 tahun itu bersama adiknya mengalami kecederaan luka kaki kiri dan cedera di bahagian muka.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku apabila adik pengadu mengadu menegur kumpulan terbabit yang memandu laju di kawasan perumahan.
“Tidak berpuas hati ditegur, kumpulan lelaki terbabit menyerang pengadu dan keluarga dengan menggunakan kayu dan topi keledar.
“‘Malah, kumpulan ini juga bertindak membaling batu dan botol kaca ke dalam rumah pengadu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Shamsul Amar, bertindak atas laporan, pihaknya telah menahan lapan suspek termasuk dua daripadanya merupakan adik beradik berusia lingkungan usia 20 hingga 30 tahun bagi membantu siasatan.
“Lima suspek ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan manakala selebihnya di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk salah seorangnya mempunyai 13 rekod jenayah lampau,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE










