Kurang kuasa membeli punca pendapatan pasar raya merosot - Utusan Malaysia

Kurang kuasa membeli punca pendapatan pasar raya merosot

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kurang kuasa membeli dalam kalangan rakyat kerana tidak mempunyai wang menjadi punca penyusutan 25 peratus pendapatan pasar raya sejak pelaksanaan sekatan penuh pergerakan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya semua pasar raya ini terkesan dan mereka berkemungkinan bungkus, menyebabkan para pekerja terpaksa dibuang.

“Bertambahlah rakyat yang tiada wang, sekarang ini pun 20 peratus pekerja sudah dibuang. Andai keadaan ini berterusan, Julai mungkin bertambah kepada 30 peratus dan Ogos, 50 peratus.

“Pusat membeli-belah lain malah ada yang menjunam sehingga 95 peratus. Antara punca disebabkan kuasa beli rakyat merundum atau dalam erti kata lain rakyat tiada wang,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin sebelum ini memaklumkan majoriti peniaga sektor peruncitan terutamanya peniaga Melayu sudah ‘hampir mati’ apabila sudah habis daya untuk menyelamatkan perniagaan masing-masing.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, meskipun Kementerian Kewangan memberi jaminan institusi perbankan bakal memberikan moratorium automatik, tetapi hakikatnya proses permohonan amatlah sukar.

Justeru beliau memberitahu, UMNO secara konsisten mendesak kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’ yang sebenar dengan kebanyakan aktiviti ekonomi perlu dihentikan sementara.

“Maka bank terikat dengan ‘social obligation’ (obligasi sosial) untuk memberi moratorium automatik. ‘Total lockdown’ suam-suam kuku menyebabkan banyak perniagaan perlu terus beroperasi.

“Oleh sebab itu bank ada alasan untuk terus menuntut bayaran daripada peniaga meskipun dalam keadaan pasaran yang lembab, lemah dan perlahan,” katanya.

Ahmad Zahid memaklumkan beliau dan UMNO akan terus memperjuangkan suara rakyat dan mendesak kerajaan mengarahkan bank memberikan moratorium pukal kepada seluruh rakyat yang memerlukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN