PUTRAJAYA: Keberkesanan ubat Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 masih belum dapat dipastikan berikutan terdapat sekumpulan pengkaji mendakwa ia mampu menghentikan proses replikasi SARS-CoV-2 dalam badan manusia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menjelaskan, kajian yang dilakukan berskala kecil dan keberkesanannya masih di peringkat kajian berskala besar untuk melihat ubat anti parasit itu yang digunakan bagi perubatan haiwan dalam merawat kes jangkitan cacing mampu merawat Covid-19.
Katanya, laporan perubatan antarabangsa, Lancet mencadangkan agar satu kajian berskala lebih besar untuk memahami tahap keberkesanan Ivermectin merawat pesakit Covid-19.
“Badan penguatkuasaan dunia, Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA), Amerika Syarikat dan Agensi Perubatan Eropah (EMA) berpendapat penggunaan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 belum dibolehkan kerana data yang masih terhad.
“Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan setakat ini Ivermectin hanya boleh digunakan bagi tujuan fasa percubaan klinikal,” katanya di sini semalam.
Adham berkata, Kementerian Kesihatan telah memulakan kajian klinikal berkenaan tahap keselamatan serta keberkesanan Ivermectin ke atas pesakit Covid-19 bermula 1 Mei lalu sehingga 30 September ini dengan penglibatan 12 hospital di bawah kementerian itu.
Jelas beliau, kajian itu melibatkan seramai 500 pesakit yang dimasukkan ke hospital yang terdiri daripada kategori 2 dan 3, berusia 50 tahun ke atas dan mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi.
“Objektif utama kajian ini adalah mengkaji keberkesanan ubat Ivermectin dalam mengelakkan disease progression dalam kalangan pesakit tahap mild-to-moderate (ringan kepada sederhana) atau moderate-to-severe (sederhana kepada teruk).
“Ini termasuk bagi pesakit Covid-19 yang akan memerlukan penjagaan kritikal, bantuan pernafasan (oksigen) dan/atau bantuan alat pernafasan (ventilator),” katanya. – UTUSAN










