Jururawat rugi RM94,000 diperdaya 'pegawai LHDN' - Utusan Malaysia

Jururawat rugi RM94,000 diperdaya ‘pegawai LHDN’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang jururawat kerugian RM94,000 selepas diperdaya sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa berusia 31 tahun itu membuat laporan polis pada Sabtu lalu, memaklumkan menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri daripada LHDN.

“Individu itu memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai  RM38,600.90 atas syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.

“Mangsa menafikan tetapi talian disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan untuk tujuan membuat laporan polis secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Aidi Sham, mangsa kemudiannya bercakap dengan pegawai polis yang mendakwa berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP) dan meminta mangsa memuat naik pautan aplikasi MyBNM.

“Dalam aplikasi tersebut pengadu iaitu jururawat memasukkan butiran nama dan nombor kad pengenalan miliknya.  

“Aplikasi ini dikatakan untuk tujuan keselamatan supaya wang dalam akaun mangsa tidak ditolak untuk tunggakan cukai seperti didakwa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagaimanapun apabila mangsa membuat semakan dengan pihak bank didapati wang simpanan di dalam salah satu akaun miliknya telah dipindahkan.

“Wang tersebut telah dipindahkan ke beberapa akaun yang tidak dikenali menerusi 11  transaksi dengan jumlah keseluruhan RM94,000,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan-panggilan yang memaklumkan mereka daripada badan penguatkuasa atau institusi kewangan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN