LAHAD DATU: Yuri, anak gajah jantan berumur kira-kira setahun yang terpisah daripada kumpulannya di ladang Felda Sahabat 9 Baiduri Ayu, dekat sini, Jumaat lalu diselamatkan.
Bagaimanapun, usaha Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu untuk menyatukan Yuri kembali kepada kumpulan itu tidak berjaya apabila anak gajah tersebut disisihkan oleh kumpulannya.
Pegawai JHL Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, anak gajah berkenaan dihantar ke Pusat Rehabilisasi Orang Hutan Sepilok, Sandakan untuk penjagaan dan pemantauan selanjutnya.
Berdasarkan laporan, Baiduri atau dikenali sebagai Yuri itu dijumpai berkeliaran bersendirian oleh pekerja ladang pada Selasa lalu sebelum diselamatkan.
“Kami percaya anak gajah ini dipinggirkan kumpulannya menyebabkan ia berjalan bersendirian.
“Pasukan JHL bertindak menyatukan kembali anak gajah tersebut dengan kumpulannya di lokasi berhampiran agar tidak bersendirian.
“Tetapi kumpulan gajah berkenaan tidak mahu menerima anak gajah itu dan terpaksa memanggil Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) untuk menyelamatkannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemeriksaan fizikal mendapati Yuri hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kiri kulit depannya dan kepala.
Bagaimanapun Yuri masih responsif dan tidak mengalami sebarang masalah pada organ dalaman. – UTUSAN ONLINE










