PONTIAN: Keputusan kerajaan membuat pengambilan guru secara one-off melibatkan 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 memberi sinar buat graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang mengharapkan mereka diberi keutamaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohd. Lufti Kumasi, 25, berkata, ini kerana masih terdapat rakan-rakan seniornya yang menunggu selama empat tahun untuk mendapat jawapan penempatan.
Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk menampung hidup.
Pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang pengajian syariah itu berkata, cita-cita bergelar pendidik itu menjadi impiannya sejak kecil sehingga berpeluang menyambung pengajian di UPSI pada 2017.
“Alhamdulillah, telah lama kami menanti berita baik seperti ini dan diharap dapat dijadikan kenyataan pada tahun ini bagi membolehkan kami menyumbang bakti kepada negara. Cuma kami menaruh harapan graduan pendidikan diberikan keutamaan apabila melihat pengumuman itu yang memaklumkan ia dilakukan secara terbuka.
“Bukan ingin menidakkan peluang orang lain, tetapi ada graduan yang sudah bertahun-tahun menunggu penempatan sehingga ada yang terpaksa mencari kerja lain buat sementara waktu,” katanya di sini semalam.
Dalam sidang akhbar khas kelmarin, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, iklan bagi pengambilan jawatan kekosongan guru itu akan dibuka pada 7 Julai ini dan penempatan secara berperingkat akan dilaksanakan bermula Oktober ini.
Tambah Mohd. Lufti, meskipun berpeluang menjadi guru ganti di sebuah sekolah di daerah ini bermula bulan ini hingga Ogos, dia tetap melakukan pekerjaan sampingan lain sejak tamat pengajian tahun lalu.
“Dalam tempoh menanti penempatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan atau guru, saya membantu abang menjadi usahawan tani dengan menanam sayur secara fertigasi bagi tanaman peria, peria katak, timun dan cili,” katanya.
Sementara itu bagi Mohd. Arif Mohd. Naser, 25, yang juga graduan UPSI, dia bukan tidak bersetuju dengan usaha baik Kementerian Pendidikan, namun keputusan itu perlu dilihat secara menyeluruh yang bukan hanya bergantung kepada proses penempatan.
Katanya, tiada ertinya jika proses penempatan dipercepatkan tetapi yang mendapat tempat adalah graduan yang hanya ingin mengisi masa lapang tanpa mempunyai komitmen untuk berkhidmat sebagai pendidik.
“Ketika ini dianggarkan ribuan graduan dalam bidang pendidikan yang telah tamat pengajian mereka antara tiga hingga empat tahun yang perlu diberikan keutamaan oleh kementerian dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
“Pengambilan guru perlu dibuat dengan penuh penelitian seperti mana perjawatan yang lain supaya yang dipilih nanti adalah mereka yang benar-benar berkualiti dan berkebolehan mendidik,” katanya.










