SEREMBAN: Seramai 3.5 juta warga emas di seluruh negara dijangka menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 dalam tempoh dua minggu ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, kementeriannya meletakkan sasaran tersebut bagi memastikan seluruh warga emas berusia 60 tahun dan ke atas menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Sehingga 31 Mei lalu, seramai 2.1 juta atau 60 peratus warga emas telah membuat pendaftaran bagi mendapatkan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.
“Daripada jumlah tersebut, hampir 1 juta iaitu 632,519 warga emas telah menerima dos pertama manakala sejumlah 229,462 warga emas telah lengkap menerima dos kedua,” katan beliau selepas tinjauan pemberian vaksin kepada warga emas di Rumah Sejahtera, Sikamat di sini.
Menurut beliau, program tersebut akan berjalan secara berterusan dalam tempoh dua minggu bagi memastikan 3.5 juta warga emas membuat pendaftaran di aplikasi MySejahtera dan menerima suntikan Covid-19.
Kata Rina, pihaknya juga sedang berusaha untuk mendapat akses bagi membantu pesakit yang terlantar di rumah.
“Ketika ini kami sedang berbincang bagaimana hendak sampai kepada pesakit terlantar di rumah supaya mereka juga dapat diberi vaksin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, di Negeri Sembilan mulai hari ini sedang berlangsung proses pemberian vaksin yang pertama melibatkan 35 buah pusat jagaan warga emas sama ada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Proses pemberian vaksin kepada penghuni pusat jagaan warga emas ini dijangka selesai dalam tempoh dua minggu yang turut melibatkan petugas pusat tersebut.
“Setakat ini juga penghuni di 300 daripada 500 pusat jagaan warga emas seluruh negara telah selesai menerima vaksin sekurang-kurangnya dos pertama,” katanya.- UTUSAN









