TASEK GELUGOR: Percubaan licik pemilik sebuah syarikat di sini mengisytiharkan habuk kayu yang dimuatkan di dalam sebuah lori sebagai peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan peralatan keselamatan kebakaran untuk bergerak gagal mengaburi pihak berkuasa.
Kesalahan itu dikesan semasa tugasan penguatkuasaan lalu lintas dan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Jalan Ara Kuda di sini kira-kira pukul 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika diperiksa syarikat pemilik lori itu didapati menjalankan perniagaan berbeza dengan didaftarkan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan.
Menurut beliau, pihaknya mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada syarikat yang beralamat di Sungai Petani, Kedah tersebut.
“Ketika ditahan, lori itu dipandu seorang pekerja lelaki yang membawa muatan habuk kayu.
“Hasil pemeriksaan mendapati surat kebenaran yang didaftarkan kepada MITI adalah sektor PPE dan Peralatan Keselamatan Kebakaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN










