KOTA KINABALU: Berpanas dan berhujan menaiki pengangkutan motosikal troli yang tidak berbumbung sudah menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan penduduk Kampung Pangi, Tenom, dekat sini.
Kampung yang terletak kira-kira 160 kilometer (km) dari Kota Kinabalu itu hanya boleh dihubungkan menggunakan perkhidmatan kereta api.
Tiada sebarang akses jalan raya yang menghubungkannya dengan pekan Tenom walaupun Empangan Hidroelektrik Pangi hanya terletak kira-kira satu kilometer dari kampung tersebut yang dihuni masyarakat daripada suku kaum Murut.
Daerah ini terkenal dengan beberapa destinasi dan aktiviti menarik seperti sukan kayak arus deras di Sungai Padas, Taman Pertanian Sabah, Rundum Highland, Pusat Kebudayaan Murut serta kilang kopi Tenom.
Namun, kampung yang menempatkan kira-kira 500 penduduk itu masih jauh ketinggalan tanpa ada kemudahan infrastruktur yang baik.
Ketika negara sedang membicarakan isu pembinaan projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3), anak-anak kampung di pedalaman Sabah ini masih menggunakan troli buatan sendiri yang dihasilkan sejak lebih 20 tahun lalu.
Troli kayu yang kini sudah ‘dinaik taraf’ sebagai motosikal troli sejak tiga tahun lalu menjadi pengangkutan alternatif penduduk kampung sekiranya perkhidmatan kereta api mengalami kerosakan atau tidak beroperasi.
Kini, motosikal troli ini turut menjadi pengangkutan guru-guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi.

Bekas Ketua Kampung Pangi, Udin Bakiwoh, 55, berkata, inovasi motosikal troli itu membolehkan penduduk kampung keluar membeli barang keperluan dan menghantar hasil pertanian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana operasi kereta api dihentikan sementara waktu.
Beliau menjelaskan, motosikal troli yang digunakan di landasan kereta api itu dihasilkan menggunakan sebuah motosikal serta troli kayu yang menelan belanja kira-kira RM500 dan mampu menarik sehingga 10 troli sekali gus.
“Pembinaan motosikal troli ini adalah hasil idea anak muda kampung yang ternampak troli sebegini digunakan di Thailand melalui aplikasi Youtube,tiga tahun lalu.
“Sebelum ini, kami menggerakkan troli ini secara manual dengan menggunakan sebatang kayu tetapi dengan adanya motosikal troli perjalanan menjadi lebih pantas,” katanya.
Pada masa ini, 10 buah motosikal troli digunakan oleh penduduk di sini bagi mengangkut hasil pertanian seperti pisang, ubi, sayur-sayuran dan getah untuk dijual di pekan.
Ceritanya lagi, jika hasil pertanian banyak, mereka boleh membawa sehingga satu tan muatan yang disimpan dalam beberapa troli yang disusun dan diikat dengan rapi agar tidak terlepas semasa dalam perjalanan.
“Kalau muatan banyak, saya membawa motosikal troli ini pada kelajuan 30 kilometer sejam (km/j) jadi ia mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke pekan. Jika kereta api beroperasi, biasanya sebelum mula bergerak, kami akan maklumkan kepada stesen kereta api bagi mengelakkan berlaku kemalangan.
“Sekiranya muatan sedikit, 30 minit pun boleh sampai ke pekan. Namun, sekiranya kami membawa penumpang yang berusia, terpaksa juga perlahankan motosikal. Penumpang selalunya membayar RM10 untuk tambang pergi dan balik,” katanya.
Selain membawa barangan, motosikal troli ini juga digunakan ketika kecemasan bagi membawa ibu yang ingin bersalin ke Hospital Tenom. Dua tahun lalu, ada kes ibu bersalin di jalanan sebelum sempat tiba di hospital.
Mengulas lanjut, katanya, sejak tahun 1994 lagi mereka memohon untuk pembinaan jalan raya menuju ke kampung tersebut. Kelulusan sudah diberikan tapi habuk pun tiada sehingga sekarang. – UTUSAN ONLINE











