MELAKA: Bekas pemain tengah pasukan bola sepak Melaka United (MU) tahun 2004 dan 2015, Mohd. Azizan Baba, 40, memerlukan bantuan orang ramai bagi mengumpul dana sebanyak RM50,000 dengan kadar segera untuk merawat penyakit kanser di paha kirinya yang semakin serius.
Dia yang juga pernah mewakili Johor FC (kini Johor Darul Ta’zim) dari 2005 hingga 2011 memerlukan wang tersebut untuk menjalani pembedahan kali keempat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, Johor kerana sel giant tumor di paha kirinya semakin membengkak.
“Saya sangat memerlukan dana ini untuk membantu merawat penyakit yang saya alami. Wang simpanan termasuk daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah saya keluarkan tetapi masih tidak mencukupi.
“Dulu saya bekerja sebagai jurulatih bola sepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC tetapi kontrak ditamatkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu. Sudah setahun saya tidak bekerja.
“Kini, isteri yang menanggung saya serta lapan orang anak berusia antara setahun hingga 14 tahun. Sebelum ini saya ada mendapat sumbangan sikit tetapi telah habis digunakan sepanjang menjalani rawatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Bachang, dekat sini.
Mohd. Azizan mula mewakili Skuad Sang Kancil sejak 1996 ketika berusia 17 tahun untuk Piala Razak dan Piala Presiden serta menyarung jersi Liga Semi Pro pada 2004.
Dia mula menghidap penyakit kritikal itu sejak Ogos tahun lalu.
Pada mula, katanya, dia hanya mengalami hamstring ketika bermain bola sepak bersama bekas pemain MU.
Sejak dari peristiwa itu, paha kirinya semakin membengkak dan dia mula mendapatkan rawatan di Hospital Melaka pada November tahun lalu.
“Selepas itu, saya membuat rawatan di Hospital Pakar Putra Melaka dan hasil imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mengesan ketulan darah beku di paha kiri.
“Dua pembedahan dilalui berjaya membuang ketulan darah itu. Hasil daripada ujian makmal doktor memberitahu terdapat sel kanser,” ujarnya.
Mohd. Azizan juga pernah menyarung jersi Sarawak (2012 – 2013) dan Pulau Pinang (2014) mengambil keputusan untuk keluar dari Hospital Pakar Putra Melaka kerana tidak lagi mampu membuat rawatan di situ.
Dia kemudian mengambil keputusan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail kerana mempunyai pakar kanser.
“Pembedahan pertama di situ, doktor berjaya membuang sel giant tumor sepanjang 15cm dan sebahagian daging paha seberat 1.5kg turut dibuang kerana dijangkiti sel kanser.
“Namun setelah dibuang, sel itu cepat merebak, paha saya yang sebelum ini kecut sudah kembali membengkak dan perlu menjalani pembedahan lagi,” jelasnya.
Sebelum ini penderitaan Mohd. Azizan mendapat perhatian daripada kerajaan negeri, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), SAMB dan perlawanan bola sepak amal yang turut menyumbang.
Bagaimanapun sumbangan tersebut tidak mencukupi apabila bengkak di pahanya semakin membesar dan memerlukan sumbangan lagi bagi dia menjalani beberapa pembedahan lagi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. – UTUSAN ONLINE










