Harga pasaran minyak dijangka kekal tinggi untuk tempoh lebih lama

Harga pasaran minyak dijangka kekal tinggi untuk tempoh lebih lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah dijangka kekal tinggi untuk tempoh lebih lama walaupun terdapat penyusutan berikutan beberapa cubaan penyelesaian terhadap konflik di Asia Barat baru-baru ini.

Minyak mentah Brent turun 1.62 peratus kepada AS$97.78 (RM386.72) setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut 1.95 peratus kepada AS$92.84 (RM367.18) setong pada pukul 4 petang semalam.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, kedudukan Malaysia sebagai negara pengeksport bersih minyak dan gas memberi kelebihan imbangan perdagangan apabila harga komoditi itu melonjak di pasaran global.

Katanya, kenaikan harga minyak dunia secara tidak langsung akan meningkatkan hasil kerajaan melalui dividen petroleum dan royalti, yang kemudiannya boleh disalurkan semula untuk menampung kos subsidi domestik bagi mengekalkan kuasa beli rakyat.

“Walaupun terdapat kebimbangan mengenai inflasi tolakan kos akibat kenaikan harga tenaga, struktur ekonomi Malaysia yang dipelbagaikan serta mekanisme subsidi bersasar yang sedang dilaksanakan mampu bertindak sebagai ‘penyerap kejutan’.

“Namun, kerajaan perlu berwaspada terhadap kesan jangka panjang sekiranya harga minyak kekal di atas paras AS$100 untuk tempoh terlalu lama, kerana ia boleh menjejaskan kos input industri pembuatan dan logistik negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Setakat pukul 2 petang semalam, minyak Brent didagangkan pada paras AS$98.50 (RM389.72) setong, iaitu peningkatan hampir 32 peratus berbanding akhir 2025.

Perkembangan terbaharu menyaksikan gencatan senjata selama 10 hari antara Lubnan dan Israel telah bermula pada Khamis, manakala Presiden Donald Trump membayangkan pertemuan antara AS dan Iran mungkin berlaku pada hujung minggu ini.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, walaupun ketidaktentuan masih menyelubungi konflik tersebut, harga minyak berpotensi kekal tinggi walaupun jika peperangan berakhir dalam masa beberapa minggu akan datang.

“Apa yang kita hadapi sekarang adalah kejutan bekalan. Bank pusat sedang memantau perkembangan ini dengan teliti bagi melihat impaknya terhadap inflasi dan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam temu bual bersama CNBC di luar Mesyuarat Tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington DC.

Ketegangan di Asia Barat kekal menjadi faktor utama selepas Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) kini menyekat Selat Hormuz, laluan kritikal yang mengendalikan satu perlima daripada bekalan minyak dan gas dunia.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, Malaysia memasuki fasa krisis ini dari kedudukan yang kukuh dengan pertumbuhan yang teguh dan kadar inflasi yang rendah.

Beliau mengulangi unjuran ekonomi negara akan berkembang antara 4 hingga 5 peratus tahun ini, manakala inflasi kekal sederhana pada kadar 1.5 hingga 2.5 peratus.

“Program subsidi dan pengukuhan nilai ringgit telah membantu mengurangkan impak kenaikan harga minyak global. Selain itu, status Malaysia sebagai pengeksport tenaga juga akan membantu ekonomi negara mendepani cabaran ini,” tambah beliau.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×