KUALA LUMPUR: IKEA Malaysia akan terus mengekalkan harga produk walaupun berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan susulan konflik geopolitik ketika ini.
Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, sebagai peruncit kelengkapan rumah, fokus utama mereka kekal kepada memenuhi keperluan pengguna tempatan di Malaysia, sekali gus menzahirkan empati terhadap pihak yang terjejas oleh krisis semasa.
“IKEA percaya kepada nilai keterangkuman dan kesaksamaan, namun kami tidak mengambil pendirian melangkaui itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dari sudut operasi, syarikat mengakui konflik global memberi sedikit kesan kepada kelancaran rantaian bekalan.
“Namun begitu, setakat ini tiada peningkatan kos yang ketara dilaporkan,” katanya.
Malcolm berkata, kontrak jangka panjang dengan rakan pembekal membantu mengurangkan risiko kenaikan kos.
“Pada masa sama, kerjasama rapat dengan pembekal memastikan kedua-dua pihak kekal stabil dalam menghadapi cabaran semasa.
“Apa yang penting, pelanggan tidak seharusnya menanggung kos tambahan akibat situasi yang berlaku jauh dari Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Malcolm berkata, IKEA Malaysia tiada rancangan untuk menaikkan harga dalam masa terdekat.
“Malah, syarikat sedang meneliti kemungkinan untuk menurunkan harga bagi beberapa kategori produk utama.
“Antara fokus utama termasuk keperluan tidur, peralatan memasak dan makan serta perabot tempat duduk.
“Kami sentiasa berusaha menjadikan harga lebih mampu milik, khususnya bagi keperluan asas di rumah,” katanya.
Dari segi prestasi, jualan kelengkapan rumah kekal stabil berbanding tahun lalu, manakala segmen makanan menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
Untuk jangka sederhana, jelas Malcolm, IKEA Malaysia menyasarkan pertumbuhan sekitar lima peratus setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Namun, syarikat mengakui sentimen pengguna kini lebih berhati-hati susulan ketidaktentuan global.
“Pengguna mengambil masa lebih lama sebelum membuat pembelian, tetapi apabila mereka berbelanja, nilai perbelanjaan itu lebih tinggi,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran global, beliau berkata, IKEA Malaysia kekal optimistik terhadap prospek perniagaan.
“Tanda-tanda pemulihan kecil mula kelihatan dan syarikat yakin permintaan akan terus berkembang secara beransur-ansur.
“Kami yakin dengan potensi pasaran Malaysia dan akan terus memberi nilai terbaik kepada pelanggan,” tambahnya.-UTUSAN










