Arwah kartunis Aie kelakar luar, dalam - Utusan Malaysia

Arwah kartunis Aie kelakar luar, dalam

SAARI Sulong atau Aie (kanan) kartunis yang terkenal dengan kartun Abe dan Aku Hidup Dalam Blues dalam majalah Ujang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kartunis Saari Sulong atau Aie yang terkenal dengan karya ‘Aku Hidup Dalam Blues’ bukan sahaja mempunyai idea penghasilan komik luar biasa tetapi memiliki karakter melawak luar dan dalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar atau Kartunis Ubi berkata, sikap itu menyebabkan Aie berjaya mewarnai industri komik tanah air 28 tahun lalu sekali gus meninggalkan memori manis seluruh rakyat Malaysia khususnya generasi 90-an.

Malah katanya, karya Aie seperti ‘Aku Hidup Dalam Blues’ mencetuskan fenomena apabila komik itu sering menarik minat pembacaan orang ramai pada waktu tersebut.

Ujar kartunis ‘Aku Budak Hostel’ itu, dia mengenali Aie sebagai individu yang mempunyai karakter luar biasa dan bakat terpendam untuk melukis serta melahirkan banyak idea penghasilan komik.

Menurutnya, hubungannya dengan Aie bukan sahaja seorang rakan karib sejak kecil, malah guru dan mentor yang membawanya ke pentas kartunis pada 1995.

“Saya kenal arwah sejak kecil kerana kami satu kampung dari Kuantan, Pahang dan pernah satu sekolah menengah sama. Sejak itu, saya belajar melukis dengan arwah dan membawa saya ke  industri kartun sehingga hari ini.

“Arwah ini luar dan dalam memang mempunyai karakter lawak dan mungkin daripada itu, arwah berbakat dalam melahirkan idea-idea kartun berbakat sehingga diingati ke saat ini,” katanya.

Kartunis Aie, 48, yang juga terkenal dengan karya ‘Blues Untuk Aku’ meninggal dunia kira-kira pukul 4 pagi semalam disebabkan kompilasi buah pinggang.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kartunis Ujang atau Ibrahim Anon di Facebooknya, semalam.

Allahyarham dilahirkan di Kuala Lumpur pada Februari 1973, kemudian dibesarkan di Segamat dan Kluang, Johor sebelum menamatkan Tingkatan 5 dekat Kuantan, Pahang.

Selama 25 tahun Aie melalui sepak terajang dunia kartun dan komik dengan memegang portfolio sebagai kartunis, ilustrator, pelukis komik, pereka grafik, ketua studio, ketua unit ilustrasi dan pengarah seni di beberapa syarikat penerbitan tanah air yang menerbitkan majalah Jenakarama, Majalah Kartun Disney ‘Mickey” (edisi bahasa melayu), Ujang, Starz, Utopia, G3, Jom, Boboi dan Gila-Gila. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN