Ahmad Samsuri terus cuba ‘dikehel’ dengan fitnah - Utusan Malaysia

Ahmad Samsuri terus cuba ‘dikehel’ dengan fitnah

Ahmad Samsuri Mokhtar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBARAN berita palsu tentang air percuma dengan kadar tidak seberapa yang kononnya diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mengurangkan beban rak­yat dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi bahan sendaan, sindiran dan kecaman terhadap beliau.

Penyebaran bahan itu ter­nyata menempelak Ahmad Samsuri yang seolah-olah tidak peka dengan suasana dan tidak berupaya memikirkan perancangan untuk kebajikan rakyat.

Terbaharu tular surat akuan berkanun (SD) yang dikatakan diagihkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak sehaluan dengannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kandungan surat itu menyatakan keadaan politik di Terengganu kurang stabil sepanjang tempoh pandemik Covid-19 dari Mac 2020 hingga kini berikutan beberapa insiden ketidakpercayaan terhadap kepemimpinan Menteri Besar di samping wujud ketidakseimbangan dalam memanifestasikan agenda kebaji­kan rakyat yang seolah-olah mengutamakan beberapa keutamaan tidak perlu.

Penyebaran surat itu bagaimanapun disahkan palsu oleh beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Insiden itu sekali gus memberi bayangan wujud usaha sekelompok individu yang mahu menjatuhkan Ahmad Samsuri secara senyap-senyap menerusi pelbagai cerita negatif dalam usa­ha menggugat kedudukannya.

Kelompok individu berkenaan tentunya tidak senang dengan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Ke-15 yang diper­kenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Cubaan untuk menyingkirkan Ahmad Samsuri itu mula dikesan sejak bulan lalu dengan mencetuskan isu-isu berhubung tatakelola kerajaan negeri dan menguruskan agenda kebajikan rakyat di samping soal hubungan dengan istana.

Bahkan, baru-baru ini anak sulung pemimpin itu dalam hantaran di Facebook turut membayangkan rasa tidak senang dengan sikap sebilangan anggota masyarakat yang cuba mengambil kesempatan dengan kedudukan bapanya.

Ahmad Samsuri yang pertama kali bertanding dalam PRU lalu memenangi kerusi DUN Ru Rendang dengan 13,851 undi sekali gus menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, ADUN Cukai, Hanafiah Mat berkata, kesemua 22 wakil rakyat Pas termasuk 10 Exco menyokong penuh pentadbiran Ahmad Samsuri dan mengesahkan pemimpin tersebut tiada masalah dengan istana sebagaimana dakwaan segelintir pihak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri tidak menolak kemungkinan isu itu ditimbulkan pihak musuh bagi memecah-belahkan pentadbiran menteri besar.

“SD itu fitnah dan palsu semata-mata kerana kami kalangan semua Exco tidak mempunyai masalah dengan menteri besar, malah sentiasa berjumpa melalui mesyuarat termasuk secara maya.

“Menteri Besar juga sangat menghormati Sultan Terengganu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai SD berkenaan.

“Saya tidak ada menerima apa-apa SD dan tidak tahu-menahu mengenainya. Kalau melibatkan ADUN BN tentunya perlu berhubung dengan saya terlebih dahulu dan tiada mana-mana pihak membuat perbincangan tentangnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini