BAYAN LEPAS: Penduduk Kondominium Villa Emas, Persiaran Bayan Indah, di sini digemparkan dengan kejadian kebakaran dua buah kenderaan dan enam buah motosikal yang diletakkan di kawasan parkir kondominium itu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang tadi itu, kesemua kenderaan terbabit termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) musnah sepenuhnya.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.06 petang dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, anggota yang lengkap dengan pakaian pelindung diri (PPE) melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman api.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 3.22 petang dan tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, punca kejadian dan kerugian akibat kebakaran itu masih disiasat dan kerja-kerja pemadaman dilakukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru dan Jalan Perak. – UTUSAN ONLINE










