MELAKA: Entah mana silapnya apabila enam adik-beradik yatim piatu di Kampung Pekan Tangga Batu dekat sini bukan sahaja tidak memiliki sijil lahir malah tidak pernah menjejak kaki ke sekolah.
Semua adik-beradik berusia enam hingga 14 tahun itu hidup dengan mendiami rumah sewa selain mengharapkan ihsan jiran-jiran bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Ibu kepada enam beradik itu, Milah Nasir meninggal dunia pada 2016.manakala bapa pula, Rosani Saman menyusul setahun lalu kerana jatuh dari bumbung rumah.
Sejak itu, Nur Azizah, 14; Amat Bahari, 13; Azrul, 12; Khalid, 11; Mohd. Said, 8, dan Siti Khadijah, 6, diawasi ibu saudara, Hajiah Hairun, 48, yang juga orang kurang upaya (OKU).
Selebihnya, kelangsungan hidup mereka bergantung sepenuhnya atas belas ihsan masyarakat setempat, bukan sahaja untuk membayar sewa rumah RM150 sebulan, tetapi juga keperluan makanan asas.
Ada ketikanya, adik-beradik itu mengikat perut dengan makan sekali sehari yang mana barang sumbangan masyarakat hanya dimasak jika perlu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hajiah berkata, dia mula menjaga enam beradik itu sejak kematian Rosani.
“Saya hanya menjaga mereka atas permintaan arwah ayahnya sebelum menghembuskan nafas terakhir. Hanya itu yang mampu saya lakukan.
“Untuk bekerja menyara mereka saya OKU dan tidak ada upaya. Kami hanya mengharapkan belas ihsan masyarakat untuk bayar sewa rumah dan mendapat keperluan barang makanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Ditanya berkenaan status sijil kelahiran, Hajiah berkata, dia tidak mempunyai jawapan kepada persoalan tersebut, namun mengesahkan kesemua anak saudaranya itu lahir di Melaka.
“Pilu melihat keenam-enam adik beradik tersebut dengan pakaian lusuh.
“Sepanjang hari mereka hanya duduk di rumah. Mereka tidak berani keluar kerana kesemua mereka tidak memiliki pengenalan diri,” ujarnya. – UTUSAN











