5,000 pengusaha restoran di ambang ‘gulung tikar’ - Utusan Malaysia

5,000 pengusaha restoran di ambang ‘gulung tikar’

PEMATUHAN Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat pada masa sekarang didakwa menyebabkan pengusaha restoran terkesan. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 5,000 pengusaha restoran berdepan risiko gulung tikar sekiranya masih dibelenggu prosedur operasi standard (SOP) semasa dalam tempoh sekatan pergerakan penuh tanpa bantuan sepatutnya.

Perkara ini memburukkan lagi keadaan selepas hampir 20 peratus atau 2,500 restoran terpaksa menghentikan perniagaan ekoran terjejas teruk sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.

Itu hanya mengambil kira data daripada 12,000 ahli di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan jumlahnya sudah tentu lebih menakutkan sekiranya dihitung daripada jumlah keseluruhan pengusaha restoran di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Presma, Datuk Jawahir Ali Taib Khan berkata, separuh daripada ahli­nya berdepan aliran tunai kronik berikutan perbelanjaan operasi (opex) yang jauh lebih tinggi, sekali gus menjejaskan modal dan rizab perniagaan mereka.

Ujarnya, lebih parah, hampir 95 peratus pengusaha res­toran menyewa premis dan perlu membayar sewa walaupun perniagaan merudum.

“Situasi ini membuatkan pemilik restoran semakin terjerut kerana kebanyakan sewa premis adalah sangat tinggi. Sebagai contoh, pengusaha restoran di lokasi tumpuan seperti Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) perlu membayar sewa RM15,000 sebulan sedangkan dengan keadaan semasa, sudah tentu mereka tidak berkemampuan melunaskan sewa tersebut.

“Jualan kami amat terkesan dalam tempoh ini. Satu francais makanan berasaskan sayur-sa­yuran di Jalan Masjid India memperoleh RM160 sehari, jadi bagaimana mereka mahu menampung sewa RM13,000 sebulan,” katanya di sini, semalam.

Justeru, Jawahir Ali menegaskan, pengusaha restoran memerlukan moratorium automatik sekurang-kurangnya selama tiga bulan tanpa faedah tambahan selain pelepasan sewa untuk tempoh sama bagi memastikan mereka boleh terus bertahan dalam tempoh mencabar ini.

Jelasnya, jika digabungkan pinjaman perniagaan, gadai janji dan kenderaan, kebanyakan ahlinya mempunyai liabi­liti hampir RM1 juta yang perlu dilunaskan.

“Cuba bayangkan jika 10 peratus atau 1,000 ahli Presma gagal membayar pinjaman, nilai pinjaman tidak berbayar (NPL) pihak bank sudah melon­jak kepada RM10 bilion. Sudah tentu pihak bank berdepan kesan yang lebih teruk jika semakin banyak perniagaan terpaksa dihentikan.

“Rasionalnya, bank tidak akan mengalami kerugian jangka panjang dengan memberikan moratorium automatik dan ini jelas dilihat daripada pres­tasi tahunan pihak bank yang tetap mencatat keuntungan.

“Kami bukan tidak mahu bayar, kami tetap akan bayar balik pinjaman setelah pandemik ini berakhir dan ekonomi dibuka semula. Sejujurnya kami memerlukan moratorium automatik sekarang bukan untuk mengaut untung tapi untuk terus bertahan,” ujarnya.

Sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh 1 Jun lalu sehingga ke hari ini, operasi restoran dan kedai makan ha­nya secara penghantaran atau bawa pulang selain waktu operasi dihadkan bermula 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara disambung lagi selama 14 hari sehingga 28 Jun, sekali gus menggusarkan lebih ramai peniaga dan orang ramai.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan 125 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dewan perniagaan menggesa kerajaan melaksa­nakan pemberian moratorium secara menyeluruh sekurang-kurangnya selama enam bulan atau sehingga negara mencapai imuniti kelompok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN