LANGKAWI: Seramai 3,138 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di seluruh negara menerusi program Pelan Rekalibrasi PATI bermula Januari lalu hingga semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata, PATI terbabit mengambil kesempatan menyerah diri pada program tersebut yang dibuka hingga 30 Jun ini.
Menurutnya, program tersebut melibatkan Pelan Rekalibrasi Pulang atau Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
“Kebanyakan PATI itu menyerah diri dengan Jabatan Imigresen Malaysia
“Sebaik sahaja program itu tamat, tiada berkompromi lagi dan PATI ditangkap akan diambil tindakan tegas,” katanya selepas program lawatan pemantauan dan pemeriksaan di sini, hari ini.
Selain itu, beliau memberitahu, seramai 4,877 PATI pula ditahan hasil operasi besar-besaran di seluruh negara kerana melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.
“Jumlah keseluruhan PATI yang serah diri dan ditangkap ialah seramai 8,015 orang melibatkan warganegara Thailand, Indonesia, Myanmar dan Bangladesh,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










