Bayu Somerset buka cawangan pertama di Borneo - Utusan Malaysia

Bayu Somerset buka cawangan pertama di Borneo

SEKITAR majlis pembukaan butik Bayu Somerset di Vivacity Megamall Kuching, Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset melakar sejarah baharu apabila membuka cawangan pertamanya di Borneo, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama fesyen gaya hidup tempatan yang berkembang pesat.

Pembukaan cawangan di Vivacity Megamall di Kuching, Sarawak berkeluasan 1,474 kaki persegi itu bertepatan dengan sambutan ulang tahun kelima penubuhan Bayu Somerset dan menjadi langkah strategik syarikat dalam memperluas rangkaian perniagaannya ke seluruh negara.

Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin berkata, pembukaan butik pertama di Kuching merupakan detik bermakna selepas lima tahun jenama itu dibangunkan berteraskan identiti Malaysia dengan mengangkat warisan budaya dalam rekaan moden.

“Lima tahun lalu, kami memulakan perjalanan ini dengan impian untuk membina sebuah jenama fesyen tempatan yang menghargai warisan budaya Malaysia sambil memenuhi keperluan wanita moden.

“Hari ini, melihat Bayu Somerset berkembang daripada sebuah platform dalam talian kepada rangkaian cawangan yang diyakini ratusan ribu pelanggan di seluruh negara merupakan satu pencapaian yang amat bermakna.

“Kami sering menerima pertanyaan daripada pelanggan di Sarawak mengenai pembukaan cawangan di sini. Alhamdulillah, impian itu akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Ditubuhkan pada 2021 ketika negara berdepan pandemik Covid-19, Bayu Somerset berkembang daripada jenama fesyen dalam talian kepada rangkaian yang kini mempunyai 18 cawangan di seluruh negara dengan lebih 500,000 pelanggan.

Syarikat itu turut menyasarkan pembukaan 30 cawangan menjelang penghujung tahun ini, termasuk cawangan pertama di Sabah.

Berlandaskan falsafah “Past-Forward Fashion,” Bayu Somerset mengetengahkan rekaan yang menggabungkan elemen warisan seperti baju kurung Kedah, baju kebaya dan baju kurung kebarung dengan sentuhan kontemporari, warna segar serta corak eksklusif.

Jenama itu juga menawarkan pilihan saiz daripada XXS hingga 5XL sebagai usaha memperjuangkan fesyen yang lebih inklusif dan sesuai untuk pelbagai bentuk tubuh serta peringkat usia.

Cawangan di Vivacity Megamall menawarkan lebih 190 rekaan merangkumi lebih 10 kategori produk termasuk pakaian wanita, lelaki, kanak-kanak, selendang, aksesori serta barangan eksklusif yang menampilkan maskot Bayu Somerset, Molly.

Sempena pembukaan rasmi pada 11 Julai lalu, pelanggan turut ditawarkan pelbagai promosi termasuk beli satu percuma satu, pulangan tunai lima peratus untuk ahli, kemudahan pertukaran dan pemulangan barangan di semua cawangan serta penghantaran terus ke rumah bagi produk atau saiz yang tidak terdapat di butik. – UTUSAN

Dalam perkembangan sama, Bayu Somerset turut menerima Anugerah Aspirasi PUNB yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Aspirasi PUNB di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengiktirafan itu disifatkan sebagai bukti pencapaian syarikat dalam membangunkan jenama fesyen tempatan yang berdaya saing selain menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh inovasi dan memperluaskan pasaran pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN