Yang marhaen pun 2 x 5 - Utusan Malaysia

Yang marhaen pun 2 x 5

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU lepas saya bercerita pasal betapa orang ramai marah kepa­da seorang selebriti dan suaminya yang berjaya men­cetuskan polemik peta kedudukan Nilai 3, di Selangor atau Negeri Sem­bilan?

Sudah reda kisah itu dan pihak polis pula menasihatkan orang ramai agar tidak mencetuskan apa yang dipanggil kegentaran awam. Gurauan jenaka dalam media sosial rupanya ada yang boleh dikategorikan sebagai satu jenayah hasutan yang boleh mengelirukan orang ramai.

Siasatan polis boleh dilakukan mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jadi agak-agaklah kita kalau hendak bergurau dalam media sosial. Terpinga-pinga juga saya bila sense of humour ini boleh menggentarkan.

Tetapi ini bukan isu yang hendak saya perkatakan. Saya mahu sentuh bagaimana rakyat yang mendakwa mereka marhaen ini pun begitu ramai yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ada yang terlepas menyalahgunakan surat rentas negeri untuk pulang berhari raya di kampung. Bukan setakat itu, wujud kluster-kluster komuniti yang terhasil daripada aktiviti ziarah hari raya.

Sehingga 13 Syawal iaitu pada Selasa lalu, sebanyak 12 kluster komuniti yang melibatkan sub-kluster hari raya dikesan. Ia berlaku pada tujuh negeri dengan satu kematian di Selangor dan dua lagi dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Sabah.

Pada hari raya pertama, kita boleh lihat ramai memuat naik gambar dalam media sosial kenangan berhari raya dengan keluarga macam tiada sesiapa di situ kecuali keluarga. Yang mencurigakan ada juga kelihatan kerusi meja makan yang disusun panjang seperti mahu membuat rumah terbuka!

Tetapi biasalah apabila selebriti ‘golongan kayangan’ yang sering disebut-sebut melakukannya, mereka menerima kecaman yang amat dahsyat. Pendek kata, dikutuk tujuh keturunan.

Apabila yang marhaen ini turut melakukannya, buat diam-diam sahaja sudah. Bagaikan itu bukan satu kesalahan besar.

Dan cukup menghairankan juga akaun laman sosial memerangkap dan menjebakkan mereka, seolah-olah melakukan pelanggaran SOP bukan satu hal yang serius. Asalkan dapat menayang kepada kawan-kawan dan orang ramai mereka ada gambar raya! Itu yang penting.

Bila statistik Covid-19 negara ini terus meningkat, golongan inilah juga menyalahkan kerajaan yang tidak membuat total lockdown dari awal. Kerajaan gagal, KKM gagal atau polis gagal.

Hakikatnya, diri sendiri pun sentiasa mencari ruang untuk melanggar SOP, ada saja ‘akal panjang’ cari alasan keluar rumah atau rentas negeri, walaupun segala apa kawalan pergerakan dilaksanakan.

Tak boleh beraya di rumah, mereka beraya pula di pusat beli-belah berjumpa adik beradik, saudara mara bersalaman dan bergambar tanpa penjarakan fizikal.

Dan Kementerian Kesihatan juga menjangkakan lebih banyak lagi sub-kluster berhari raya ini dikesan dalam tempoh terdekat ini. Setakat 13 Syawal, 470 kes dicatatkan melalui lebih 2,000 saringan kerana beraya.

Kenapa ini berlaku? Tidak ada rasa takut langsungkah bahaya Covid-19 yang telah meragut nyawa jutaan penduduk dunia? Sanggup pula membahayakan nyawa ibu bapa, anak beranak dan orang lain hanya kerana mahu berseronok berhari raya?

Kalau jenis suka melayari media sosial setiap masa, tak terkesankah dengan berita-berita tentang kehilangan orang tersayang akibat Covid? Apabila sudah kena pada batang hidung sendiri, menyesal sudah tentu tidak akan mengubah apa-apa.

Sepatutnya kita mengambil iktibar daripada cerita-cerita sedih ini bukan hanya pandai menularkan cerita orang lain melanggar SOP dan dikecam beramai-ramai tanpa diri sendiri ada kesedaran tentangnya.

Memang mencari salah orang lain, adalah kerja paling mudah dalam dunia ini. Tak dibayar gaji pun tak apa, ia satu pekerjaan yang menyeronokkan. Bukankah begitu? Inilah yang dikatakan buruk perangai.

PENULIS ialah Pengarang Berita, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN