Warga emas maut motosikal dirempuh lori - Utusan Malaysia

Warga emas maut motosikal dirempuh lori

KEADAAN motosikal mangsa rentung akibat terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 78.1 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Ayer Hitam-Yong Peng di Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan akibat dirempuh lori di Kilometer 78.1 Lebuhraya Utara Selatan, berdekatan Ayer Hitam-Yong Peng, di sini, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Ahmad Yusof Kartow, 61, mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak dirempuh dari belakang oleh sebuah lori jenis Nissan dipandu lelaki berusia 55 tahun.

“Kedua-dua kenderaan itu sedang dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur. Ketika di tempat kejadian, sebuah lori melanggar motosikal mangsa dari arah belakang sekali gus menyebabkan mangsa cedera dan maut di tempat kejadian.

“Pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemalangan turut mengakibatkan motosikal ditunggang mangsa terbakar. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan usaha mengesan waris si mati masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismail berkata, sesiapa yang mengenali mangsa diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Salmiah Mohamed di talian 07-432 7704.

Katanya, semasa kejadian keadaan jalan lurus dan cuaca baik manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN