PETALING JAYA: Ekonomi negara dijangka pulih lebih pantas sekiranya proses vaksinasi Covid-19 terutamanya pemberian vaksin AstraZeneca dapat dipercepatkan, meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, ini disebabkan proses vaksinasi membolehkan sektor-sektor utama seperti industri pembinaan beroperasi seperti biasa dan terus menyumbang kepada ekonomi.
Malah, katanya, pelabur akan menjadi bertambah yakin dengan kedudukan ekonomi negara.
“Ekonomi sekarang ini masih dalam keadaan bertahan. Ada PKP pun jumlah vaksinasi akan menjadi lebih banyak selepas ini, jadi kesan PKP ini tidaklah sampai dua tiga bulan, sebaliknya ekonomi akan terus pulih.
“Lagipun, jika dilihat PKP kali ini, banyak sektor yang dibenarkan beroperasi seperti biasa, jadi impak negatifnya hanya kecil. Paling penting kerajaan perlu terus beri keyakinan kepada pelabur bahawa ekonomi sedang ke arah pemulihan,” katanya.
Beliau mengulas keyakinan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa negara sedang ke arah objektif pemulihan ekonomi seiring dengan pemulihan kesihatan awam berikutan sambutan menggalakkan terhadap pendaftaran vaksin AstraZeneca yang dibuka kepada penduduk Kuala Lumpur dan Selangor pada 2 Mei lalu.
Sebanyak 268,000 dos pertama bakal diberikan, sebelum Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memperluaskan ke negeri-negeri lain selepas Malaysia menerima penghantaran vaksin berikutnya.
Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob dari Putra Business School berpendapat, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak bekalan vaksin bagi memastikan pemulihan ekonomi dapat berjalan dengan lancar.
“Kerajaan sudah membeli sejumlah besar vaksin dan vaksin AstraZeneca pula diberikan secara lelong, sekali gus angka bilangan kes Covid-19 akan menjadi lebih kecil di masa akan datang.
“Sudah tentu vaksin sahaja tidak mencukupi, PKP ini juga diperlukan tetapi pemulihan ekonomi akan menjadi lebih cepat. Jadi, kerajaan perlu memperbanyak lagi bekalan vaksin di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










