Semenanjung GAZA: Serangan demi serangan dilancarkan oleh tentera Israel di Gaza, menjadikan setiap masa seperti saat terakhir buat semua penghuninya.
Keadaan di Semenanjung Gaza menjadi semakin buruk selepas tentera Israel terus melancarkan serangan udara pada awal pagi semalam.
Serangan terbaharu itu dilancarkan sehari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meneruskan serangan ‘skala besar-besaran’ terhadap Gaza, selagi Hamas tidak mengalah dan meletakkan senjata.
Kelmarin, sekurang-kurangnya 42 penduduk Palestin terkorban manakala puluhan cedera akibat bedilan roket Zionis, jumlah korban tertinggi sejak konflik bermula seminggu lalu.
Menurut laporan media antarabangsa, 55 jet pejuang Israel melancarkan 80 serangan dengan menyasarkan sejumlah pangkalan Hamas.
Antara yang musnah dalam serangan terbaharu itu termasuk sebuah bangunan empat tingkat yang dipercayai milik Hamas.
Namun, bangunan itu sudah dikosongkan sebelum tentera Zionis melancarkan serangan.
Koresponden AP di Gaza, Fares Akram berkata, serangan yang dilancarkan Zionis semalam disifatkan sebagai ‘paling dahsyat dan lama’ sejak pertempuran bermula lebih seminggu lalu.
Katanya, letupan demi letupan dapat didengar serta bebola api dan kepulan asap tebal boleh dilihat dari utara sehingga selatan Gaza.
“Sejak seminggu lalu, semalam merupakan serangan Israel paling dahsyat dan lama, jumlah infrastruktur yang musnah juga semakin banyak.
“Gaza menjadi seperti padang jarak padang tekukur dengan penduduk lari ketakutan ketika tentera Israel melancarkan serangan udara,” katanya.
Keadaan itu secara tidak langsung mencetuskan pembelian panik dalam kalangan penduduk sekitar apabila mereka mula membanjiri kedai keperluan asas dan farmasi bagi mendapatkan bekalan makanan serta ubat-ubatan.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 198 penduduk Palestin di Gaza terbunuh, termasuk 58 kanak-kanak dan 34 wanita.
Jumlah korban dijangka meningkat selepas banyak infrastruktur musnah akibat serangan udara Israel, menyebabkan ramai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Terbaharu, sebuah kilang membuat span di timur Jabalia musnah selepas terkena serangan udara tentera Israel. Kawasan pertanian milik penduduk Palestin turut menjadi sasaran.
Sementara itu, jet tempur tentera Zionis juga dilaporkan mengebom beberapa terowong bawah tanah milik Hamas. – UTUSAN










