MELAKA: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Jasin menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak sembilan PPS yang aktif menempatkan 669 mangsa banjir di negeri.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat pukul 4 petang ini, berlaku peningkatan seramai 50 mangsa berbanding hanya 619 orang pada pagi tadi.
Beliau berkata, ini menjadikan terdapat enam PPS di Melaka Tengah, dua di Jasin dan satu di Alor Gajah.
“Setakat pukul 4 petang ini, kita memindahkan seramai 668 orang mangsa ke PPS yang berdekatan di kawasan-kawasan terjejas.
“Kita menambah satu PPS baharu di daerah Jasin iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel yang menempatkan 50 orang mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Hujan lebat yang melanda Melaka semalam dan awal pagi tadi telah menyebabkan banjir kilat di beberapa buah kawasan.
Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Sungai Putat, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bestari, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama dan Taman Rambai Indah
Mengulas lanjut, beliau menambah, Melaka Tengah kekal menjadi daerah paling terjejas melibatkan 487 orang mangsa daripada 103 buah keluarga.
“Ia kemudian disusuli oleh daerah Jasin dengan 133 orang mangsa dan kemudian diikuti oleh Alor Gajah hanya 49 orang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










