PETALING JAYA: Tindakan dua remaja membaling mercun bola ke arah anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Gombak di sini mengundang padah apabila ditahan polis semalam.
Kejadian pukul 10.30 malam itu ketika sepasukan polis dari Balai Polis Gombak sedang menjalankan tugas SJR dari arah Gombak menghala ke Bentong.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya kemudian terlihat dua lelaki berusia 16 dan 20 tahun menunggang serta membonceng sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan berhenti di tepi jalan.
Menurutnya, tiba-tiba seorang daripada mereka membakar dan membaling mercun bola ke arah anggota polis yang bertugas di SJR dan terus melarikan diri.
“Anggota polis kemudiannya bertindak mengejar dan berjaya menangkap kedua-dua suspek tidak jauh dari SJR terbabit.
“Hasil pemeriksaan menemui satu plastik lut sinar di dalamnya mengandungi 14 biji mercun bola bersama satu pemetik api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Arifai, hasil siasatan mendapati seorang daripada suspek bertindak membakar dan membaling mercun bola ke arah anggota polis yang bertugas di SJR tanpa niat.
Ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap mereka mendapati kedua-duanya negatif dadah.
“Kedua-duanya dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan dibenarkan reman selama tiga hari mulai hari ini hingga 21 Mei ini untuk siasatan lanjut,” katanya.- UTUSAN ONLINE










