Rahsia wanita 106 tahun masih gagah - Utusan Malaysia

Rahsia wanita 106 tahun masih gagah

SAPIAH Ibrahim yang berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang masih mampu berpuasa walaupun berusia lebih 100 tahun. UTUSAN/MOHAMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Usia wanita ini menjangkau lebih satu abad namun dia seboleh mungkin cuba menggagahkan diri melakukan semua aktiviti harian tanpa mengharapkan pertolongan orang lain.

Sapiah Ibrahim yang mendakwa telah berusia 106 tahun itu berkata, ketika ini dia tinggal berseorangan di sebuah rumah pusaka peninggalan arwah suaminya yang juga bekas seorang anggota polis, kira-kira 20 tahun lalu.

Menurut Sapiah, meskipun tinggal seorang diri pada usia yang agak lanjut, dia masih bersyukur kerana dikelilingi jiran serta cucu angkat yang sangat prihatin dengan nasibnya.

Selesa membahasakan dirinya sebagai ‘Tok’, kata Sapiah, dia sebenarnya mempunyai tiga anak kandung namun dua daripada mereka meninggal dunia.

“Anak sulung Tok yang masih hidup itu umur dia 77 tahun dan dia ada ajak Tok duduk (tinggal) sekali tapi Tok tak mahu.

“Tetapi dia tetap rajin jenguk Tok kat rumah ni. Kalau dia tak datang kemas-kemas atau siapkan makan pakai Tok, cucu-cucu (angkat) Tok pun selalu datang ke sini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya, di sini baru-baru ini.

Sapiah berkata, berbanding tahun lepas, keadaannya pada tahun ini agak uzur hingga perlu dipapah atau terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak ke mana-mana walaupun di dalam rumah.

“Tahun lepas Tok puasa penuh selama 30 hari tapi tahun ini, Tok terpaksa ‘tinggal’ dua hari sebab terlalu letih dan cuaca panas,” kata wanita itu yang memberitahu, adakalanya anaknya yang tinggal tidak jauh dari situ datang untuk menemaninya bersahur.

Ditanya mengenai petuanya untuk kekal sihat dan bertenaga, kata Safiah, dia tidak mengamalkan sebarang petua tertentu.

“Yang penting, kita jaga amalan kita dengan Allah SWT dan hidup jangan kacau orang, insya-Allah,” katanya yang masih mempunyai daya ingatan yang kuat serta pendengaran baik meskipun tahap penglihatannya kini semakin lemah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya