TAIPING: Polis mengadakan enam Sekatan Jalan Raya (SJR) di Mukim Taiping yang terlibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini.
Selain itu, polis telah mengenal pasti 16 lorong tikus di mukim ini yang turut dipasang kawat duri.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, sepanjang pelaksanaan PKPD di mukim ini, pihaknya juga menjalankan rondaan berkala di semua laluan yang terdapat di sini untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penduduk.
“Kita juga mengarahkan semua anggota yang bertugas di semua SJR agar setiap dokumen atau surat kebenaran rentas daerah dan negeri diteliti sepenuhnya sebelum membenarkan kenderaan melepasi sekatan.
“Kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan dalam menggunakan surat kebenaran yang telah diluluskan selain mengelak dokumen palsu,” katanya kepada pemberita ketika meninjau SJR Jalan Ayer Putih di sini hari ini.
Sementara itu, Osman berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD, semua bentuk sumbangan bantuan perlu berurusan dengan pihak jawatankuasa operasi bencana daerah.
“Kita tidak benarkan sumbangan dibuat secara perseorangan dalam tempoh PKPD di mukim Taiping,” katanya.
Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Osman berkata, sebanyak 508 kompaun telah dikeluarkan semasa PKP atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP sejak awal Januari hingga semalam.
Katanya, antaranya pemilik sebuah kedai runcit yang terkenal di Pekan Batu Kurau dekat sini dikompaun RM10,000 kerana melanggar SOP.
“Pihak polis mengeluarkan kompaun RM10,000 terhadap pemilik premis perniagaan berkenaan kerana beroperasi lebih had masa yang telah ditetapkan.
“Sementara itu, 12 lelaki dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN










