TANAH MERAH: Polis Kelantan mendedahkan dua buah kenderaan milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dilaporkan hilang di sini dilarikan ke Thailand melalui Sungai Golok.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat tersebut hasil semakan yang dilakukan mendapati kedua-dua kenderaan itu tidak melalui laluan sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
“Kemarau yang melanda ketika ini menyebabkan paras air Sungai Golok dibeberapa kawasan terutama Tanah Merah kering dan boleh dilintasi dengan hanya berjalan kaki.
“Setakat ini hanya sebuah sahaja kenderaan JKM telah ditemukan dari jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner itu ditemukan,” katanya
Mohd. Yusoff memberitahu, ketika ini pihak berkuasa Thailand sedang melakukan ujian forensik untuk mengesan cap jari dan lain yang terdapat pada kenderaan tersebut.
Katanya, Polis Kelantan sudah menghantar surat untuk mendapatkan semula kenderaan tersebut bagi menjalankan siasatan selepas urusan forensik oleh pihak berkuasa negara berkenaan selesai.
“Sebuah lagi kenderaan milik agensi kerajaan itu masih belum ditemukan dan operasi mengesan masih dijalankan oleh pihak keselamatan Thailand,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dua buah kenderaan milik Kerajaan Malaysia yang dilarikan oleh sekumpulan lelaki Ahad lalu, dikesan berada sekitar kawasan Sungai Golok dekat sini, petang ini.
Pengesahan itu berpandukan nombor pendaftaran yang tertera pada SUV jenis Toyota Fortuner dan trak pikap Mitsubishi Triton. Kedua-dua kenderaan itu milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah, Kelantan.-UTUSAN










