KOTA BHARU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa mengetepikan ego dan mengakui kelemahan menangani pandemik Covid-19 dengan baik terutama menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan PKP 3.0.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, PKP 2.0 dan PKP 3.0 boleh disifatkan gagal apabila negara merekodkan jumlah kes harian tertinggi 6,075 kes semalam dengan angka kematian juga tertinggi selama tiga hari berturut-turut.
“Pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara mulai 12 Mei lalu sebenarnya merupakan langkah yang tepat pada masanya memandangkan pelaksanaan PKP terpilih sebelum ini agak mengelirukan sekali gus membuatkan rakyat hilang arah.
“Namun begitu, kerajaan PN perlu berjiwa besar dan akui kelemahan PKP 2.0 dan PKP 3.0 dalam melandaikan kes. Seterusnya, perbaiki prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 sedia ada supaya rakyat tidak perlu melalui PKP 4.0 atau PKP 5.0.
“Rakyat sebenarnya semakin tertekan dengan PKP yang berlarutan, tetapi dilaksanakan separa masak yang menyebabkan kes harian tidak turun-turun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shahir yang juga Timbalan Pengerusi Ikatan Kelantan dalam pada itu mencadangkan kerajaan sekali lagi memberi moratorium automatik selama tiga hingga enam bulan bagi meringankan beban rakyat atau sekurang-kurangnya melaksanakan i-Lestari 2.0 atau i-Sinar 2.0.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Selangor perlu menerima realiti bahawa negeri itu penyumbang terbesar kes harian dan semakin membimbangkan. Usah politikkan situasi Covid-19. Tanggungjawab mereka adalah untuk mententeramkan keadaan semasa.
“Bertindaklah sebelum terlambat kerana rakyat kian terhimpit dan tersepit dengan keadaan semasa. Kami rakyat marhaen masih tidak nampak sinar di hujung jalan,” katanya. – UTUSAN










