Pesara polis tabah jaga anak, isteri terlantar sakit - Utusan Malaysia

Pesara polis tabah jaga anak, isteri terlantar sakit

SIK Choon Foo (dua, kanan) menziarahi anak pesara polis, Zakaria Ibrahim yang terlantar sakit barah otak di rumahnya di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Selepas 40 tahun menjaga keselamatan awam, seorang pesara polis terpaksa beralih arah menjadi ‘doktor’ dan ‘jururawat’ pula bagi menjaga anak serta isteri yang masing-masing terlantar sakit sejak empat tahun lalu.

Malah kehadiran 1 Syawal disambut suram oleh Zakaria Ibrahim, 64, di rumahnya di Bandar Utama, di sini mengenangkan penyakit kedua-dua insan tersayang itu semakin serius sehingga perlu berulang-alik ke hospital lebih kerap.

Anak lelakinya, Mohd. Kamil Firdaus, 29, disahkan menghidap barah otak sejak 2016 manakala isterinya, Che Rosnah Omar, 63, pula menderita penyakit tiga serangkai iaitu jantung, darah tinggi dan kencing manis.  

Kata Zakaria, Mohd. Kamil Firdaus merupakan anak keempat daripada lima beradik sebelum ini bertugas sebagai pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Gua Musang.

“Pada 2016, anak saya dikesan menghidap barah otak dan pernah menerima rawatan awal di Hospital Kuala Lumpur selama setahun. 

“Dua tahun kemudian, keadaannya kian teruk apabila hilang ingatan dan terpaksa berhenti kerja,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo yang meluangkan masa melawat keluarganya.

Zakaria yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sebelum bersara berkata, selain hilang ingatan, kesihatan Mohd. Kamil Firdaus juga merosot apabila semakin kurus dan lemah hingga hanya mampu terlantar di rumah.

“Isteri saya yang sudah lama ada penyakit kronik tidak terdaya menguruskan rumah, apatah lagi menjaga anak kami. Jadi saya ambil alih tugas itu sejak bersara empat tahun lalu dengan bantuan seorang lagi anak yang tinggal bersama kami. Dua lagi anak tinggal berasingan,” katanya.

Sementara itu, Choon Foo berkata, warga IPD Gua Musang tidak pernah melupakan bekas anggotanya dan berusaha membantu mereka termasuk menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban masing-masing.

“Kita berharap keluarga Zakaria dapat bersabar dan menganggap semua ini ujian tuhan,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN