PETALING JAYA: Penyelesaian konflik antara Palestin dan Israel berdasarkan garis sempadan pra1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota Palestin telah gagal kerana Zionis Israel tidak pernah mengiktiraf perjanjian tersebut.
Malah, Resolusi 242 Perjanjian Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB 242) pada tahun sama serta beberapa siri perjanjian antarabangsa turut dicabuli Israel yang dilakukan melalui pelbagai usaha diplomatik di peringkat antarabangsa.
Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, hala tuju Palestin ke arah kemerdekaan sepenuhnya adalah perlu tanpa berkompromi dengan zionis Israel.
“Solidariti umat Islam di Malaysia dengan rakyat Palestin bukan hanya sekadar kenyataan yang dikeluarkan sahaja, malah ramai yang telah memainkan peranan sama ada kecil atau besar dalam kemampuan masing-masing termasuk memberi bantuan kewangan, memberi penerangan di media sosial dan melawan tipu daya zionis Israel dalam media.
“PPMM menyeru bahawa segala usaha penyelesaian yang dilakukan perlulah memberikan hak penuh dan manfaat kepada rakyat Palestin di dalam membebaskan negara Palestin daripada terus dijajah oleh rejim zionis Israel.
“Malah, usaha penyelesaian dua negara juga jelas tidak diterima baik oleh rakyat Palestin yang mahukan segala pencerobohan haram oleh pendatang-pendatang haram dihentikan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu hadir susulan laporan media antarabangsa berhubung konflik antara Israel yang terus melancarkan serangan udara terhadap Gaza, Palestin sehingga hari ini.
Ketegangan antara kedua-dua negara tersebut yang bermula sejak Isnin minggu lalu, semakin meningkat sehingga Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ia bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.
Siri keganasan itu meletus selepas konflik Israel-Palestin meningkat di Baitulmuqaddis Timur berikutan pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan Malaysia berada di landasan yang tepat dalam memainkan peranan di peringkat antarabangsa untuk membela nasib rakyat Palestin menerusi Kementerian Luar Negara sama ada secara rundingan mediasi atau tindakan bersepadu.
Malah, katanya, PPMM akan terus menyokong penuh usaha dimainkan oleh kerajaan dalam memastikan hak dan perjuangan rakyat Palestin yang telah diperjuangkan sejak berdekad bagi dalam mempertahankan kota suci ketiga umat Islam itu secara berterusan tanpa merujuk kepada penyelesaian dua negara termasuk menghantar tentera pengaman dan bantuan untuk Palestin.
“PPMM mengulangi bahawa kekejaman ke atas umat islam di Palestin tidak boleh diterima oleh individu yang waras dan jelas merupakan perlanggaran jenayah perang.
“PPMM berdoa agar kekejaman di Palestin ini diakhiri segera dan Islam kembali memerintah Palestin dengan adil dan ihsan. Apabila Islam memerintah hak beragama orang Islam, Yahudi dan Kristian di Baitul Maqdis akan sentiasa dipelihara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










