Peniaga lemang di Alor Gajah tetap sibuk dengan tempahan walaupun PKP - Utusan Malaysia

Peniaga lemang di Alor Gajah tetap sibuk dengan tempahan walaupun PKP

ZAINORA Aziz (dua dari kanan) membakar lemang sambil dibantu pekerjanya di gerai Lemang Cik Nora di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Tempahan lemang untuk sambutan Aidilfitri tidak terjejas dek kerana pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula esok bagi mengekang penularan Covid-19.

Tinjauan Utusan Malaysia di gerai lemang sekitar Masjid Tanah di sini mendapati, para peniaga dilihat sibuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Seorang peniaga, Mohd. Ariffuddin Budzi, 34, berkata, dia masih belum menerima sebarang pembatalan tempahan lemang sejak semalam, malah semakin bertambah sehingga ada yang terpaksa ditolak.

“Bagaimanapun ada pelanggan yang beritahu mahu mengurangkan tempahan kerana tidak boleh merentas daerah. Ini kerana lemang yang dibeli untuk diberikan kepada sanak saudara yang lain.

“Kami akan hantar hingga ke sempadan bagi pelanggan yang tinggal di luar daerah. Jadi tidak timbul isu kesukaran untuk mengambil lemang,” katanya ketika ditemui di gerainya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Zainora Aziz, 60, berkata, dia hanya menerima pembatalan tempahan sebanyak 50 batang lemang dan alasan yang diberikan tidak boleh merentas daerah.

Menurutnya, jumlah pembatalan itu terlalu kecil dan tidak menjejaskan pendapatannya.

“Saya masih ada 800 batang lemang untuk disiapkan. Masih ada yang datang untuk menempah, namun terpaksa menolak kerana sudah tidak menang tangan untuk membuatnya,” katanya yang telah berniaga lemang hampir 30 tahun.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Kamarrudin Mad Nasir, 41, berkata, dia perlu melihat trend pembelian dan tempahan lemang oleh pelanggan susulan pelaksanaan semula PKP.

“Setakat ini PKP tidak menjejaskan jualan saya. Bagaimanapun situasi ini perlu dinilai semula bagi menentukan berapa banyak lemang yang perlu dihasilkan kerana aktiviti kunjung mengunjung tidak dibenarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN