PETALING JAYA: Bersetuju dengan luahan pelakon, Yusuf Bahrin, aktor, Beto Kusyairy mengakui kerjaya sebagai anak seni tidak semudah yang digambarkan.
Kata Beto, kerjaya sebagai seorang pelakon memerlukan komitmen atau tuntutan kerja yang sangat tinggi usai menerima sebarang tawaran lakonan.
“Kerja kita ini bukan hanya bermula di set (lokasi penggambaran. Tuntutannya tinggi. Berminggu atau berbulan sebelum penggambaran sudah perlu buat segala persiapan segala segi untuk menjayakan tanggungjawab,” katanya.
Tambahnya, komitmen seorang pelakon bukan tertumpu ketika di lokasi penggambaran semata, sebaliknya perlu melakukan persediaan lebih awal sebelum sesi penggambaran dijalankan.
Selain perlu mengorbankan masa, Beto berpendapat perubahan fizikal mengikut kesesuaian sesebuah karakter harus dipersiapkan terlebih dahulu demi mewujudkan mutu sesebuah naskhah.
“Baca skrip berulang kali, perbincangan, buat kajian, menonton rujukan, bengkel lakonan, latihan kecergasan dan latihan.
“Ada pelakon yang perlu tambah atau turunkan berat badan, raptai penuh, sesi suai kenal pakaian, ujian solekan, ujian kamera dan sebagainya,” ujarnya.
Beto berkata demikian di ruangan komen perkongsian Yusuf pengorbanan sebagai seorang pelakon di sebalik tabir sebelum muncul di kaca televisyen.
Terdahulu, Yusuf menerusi platform Threads meluahkan kerjaya sebagai seorang pelakon bukan berlandaskan populariti semata, malah menyifatkan tuntutan kerjanya lebih besar berbanding mereka yang bekerja di pejabat.










