PUTRAJAYA: Golongan pendidik di seluruh negara tidak wajar mengeluh apabila perlu melalui sekali lagi sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu.
Nasihat itu dititipkan Tokoh Guru Kebangsaan 2021, Noorizan Mohamed ketika bercakap kepada Utusan Malaysia mengenai pelaksanaan semula PdPR bermula semalam.
“Usah mengeluh sebaliknya kita kena tetap ada sasaran untuk melihat proses kemenjadian murid akan berlaku waima mungkin mengambil sedikit masa dan cabaran berliku,” tegasnya.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin pada 26 April lalu mengumumkan sesi PdPR dilaksanakan selepas cuti peristiwa sempena Hari Raya Aidilfitri minggu lalu.
Bagi negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, ia bermula semalam sehingga 27 Mei manakala baki negeri lain dalam Kumpulan B mulai hari ini sehingga 28 Mei.
Langkah itu dibuat bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19 yang kritikal pada ketika ini dan mungkin berlaku di institusi pendidikan di bawah kementerian berkenaan.
Mengulas lanjut, Noorizan, 64, yang kini penasihat Program Sekolah Amanah di Cyberjaya itu berkata, pendidik perlu lebih kreatif memikat minat murid semasa PdPR agar tidak hambar.
“Justeru, mereka harus bijak mempelbagaikan teknik semasa sesi persekolahan masih tutup ekoran isu kebimbangan wabak Covid-19,” kata bekas Pengetua Cemerlang Gred DG54 berkenaan.
Menyentuh pengiktirafan sebagai tokoh guru kali ini, beliau mengimbau kejayaan ramai murid mewakili sekolahnya dalam pelbagai pertandingan di luar negara antara detik manis dirasai.
Bekas pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat di Bandar Baru Bangi, Selangor itu turut terharu menceritakan para pelajarnya ceria mencipta nama di peringkat global.
“Inilah perasaan tidak dapat digambar meskipun ketika mula jadi pengetua di situ pada 2009, sekolah itu sekadar biasa-biasa malah langsung tidak begitu dikenali pun,” katanya.
Beliau yang bersara dari sekolah tersebut pada 2014 memulakan kerjaya perguruan pada 1980 untuk mata pelajaran Sains dan Biologi di sembilan sekolah di Kelantan serta Selangor.
Dilahirkan di Kota Bharu dan dibesarkan di Pasir Puteh, Kelantan, anak kedua daripada lapan beradik itu tidak menduga sekolah berkenaan diberi taraf Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Lebih manis, ia mampu dicapai selepas dua tahun Noorizan berkhidmat di sekolah itu dengan kerjasama erat semua pendidik, pelajar serta pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Saya masih ingat pada 2009, semua pengetua dari seluruh negara yang sekolahnya terima anugerah SBT diminta hadir ke Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, Limbang, Sarawak.
“Kami kena redah sungai naik bot panjang dan hutan pedalaman sebelum tiba di situ yang juga taraf SBT bahkan diiktiraf antara terbaik di peringkat Komanwel dan UNESCO,” katanya.
Anugerah itu disampaikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Pendidikan dan sekali lagi untuk kali kedua, beliau menerima tokoh guru juga dari individu yang sama di sini.
Menyentuh kejayaan sekolah tersebut, Noorizan berkata, untuk meraih status SBT, mereka perlu terlebih dahulu membuktikan prestasi akademik dan bukan akademik yang cemerlang.
Impian itu, ujar beliau, menjadi realiti apabila ramai pelajarnya berjaya mewakili negara dalam pertandingan boling, memanah dan sebagainya di Australia, Indonesia serta Singapura.
“Kejayaan ini membolehkan saya juga menerima hadiah pengetua terbaik untuk tiga tahun berturut-turut dan selepas itu banyak peruntukan diterima daripada kementerian,” jelasnya.
Situasi itu sekali gus membolehkan pelbagai program dijayakan untuk bantu murid lemah pelajaran dan keluarga miskin, malah guru-gurunya mampu dihantar berkursus di luar negara.
Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas sempena Hari Guru 2021 turut mengumumkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan diterima dua bekas Ketua Pengarah Pelajaran.
Mereka ialah Datuk Dr. Amin Senin yang bersara pada tahun lepas dan penggantinya, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim yang juga baru sahaja menamatkan perkhidmatan pada bulan lalu. – UTUSAN










