GEORGETOWN: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa menguatkuasakan gencatan senjata dengan segera di Gaza dan Israel supaya penderitaan serta kemusnahan pada skala lebih besar dapat dielakkan.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang, Dr. Roslan Ahmad berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas bertali arus tentera zionis Israel ke atas Gaza itu yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan terkorbannya kanak-kanak, wanita dan orang awam.
Tambah beliau, pihaknya menyarankan negara Islam dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mahupun Liga Arab serta komuniti antarabangsa dapat menghulurkan dana mega untuk pembangunan semula Gaza dari segi kemanusiaan, perubatan, infrastruktur dan sebagainya.
“Kami juga mengesyorkan negara-negara Islam dan komuniti antarabangsa dapat bersatu untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netayanhu dan mengusul resolusi mengecam tindakan ganas Israel di PBB,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, konflik terkini itu tercetus disebabkan tindakan ganas zionis Israel merampas rumah puluhan warga Palestin di daerah Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur bersebelahan Masjid Al-Aqsa.
Di samping itu, jelasnya, mereka menceroboh Masjid Al-Aqsa, menghalang dan menghalau warga Palestin daripada melakukan iktikaf pada 27 Ramadan kerana ingin membenarkan kumpulan ekstremis zionis mengadakan sambutan `Jerusalem Day’.
“Amanah Pulau Pinang berpendirian tindakan Hamas di Gaza melancarkan serangan balas roket ke atas bandar utama dan lapangan terbang Israel adalah wajar sebagai tindak balas jenayah melampau yang berterusan ke atas Masjidil Al-Aqsa,” katanya.
Dalam pada itu katanya, umat Islam disaran mempamerkan solidariti dan bersama-sama membantu menghulurkan dana kepada perjuangan rakyat Palestin.
“Ini kerana adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mempertahankan masjid ketiga suci, Masjid Al-Aqsa yang merupakan milik umat Islam sejagat,” katanya. – UTUSAN ONLINE