Palestin ‘berkabung’ di Aidilfitri - Utusan Malaysia

Palestin ‘berkabung’ di Aidilfitri

PASUKAN penyelamat dan penduduk Palestin mengusung mangsa korban serangan roket Israel di Semenanjung Gaza, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketika umat Islam membuat persiapan Aidilfitri, bumi Palestin terus bermandi darah dengan kezaliman rejim Zionis melancarkan serangan roket menyebabkan 20 penduduk maut termasuk sembilan kanak-kanak di Semenanjung Gaza, kelmarin.

Sebagai tanda berkabung, tiada sambutan Aidilfitri di Palestin untuk tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, perkara itu diumumkan Presiden Mahmoud Abbas dalam kenyataan berhubung serangan udara yang dilancarkan tentera Zionis.

Katanya, pengumuman itu dibuat bagi menghormati kesemua 20 penduduk Palestin yang disifatkan mati syahid dalam serangan tersebut.

“Seluruh penduduk Palestin amat berdukacita dengan insiden yang berlaku, lebih-lebih lagi Aidilfitri bakal menjelma.

“Sebagai menghormati keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang, Presiden Palestin mengumumkan tiada sambutan Aidilfitri dan semua penduduk akan berkabung,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain itu, Walid turut mengutuk serangan rejim Zionis yang disifatkan terlalu melampau.

Tegas beliau, insiden pertumpahan darah melibatkan penduduk Palestin sering berlaku setiap kali menjelang Ramadan mahupun Aidilfitri.

“Sudahlah rampas tanah kami, kebebasan untuk penduduk Palestin menyambut Ramadan dan meraikan Aidilfitri juga dirampas, apa lagi yang kami ada?

“Penduduk Malaysia masih berpeluang meraikan Aidilfitri dalam keadaan tenang dan selamat biarpun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), situasi ini tidak berlaku di Palestin,” katanya.

Dalam pada itu, Walid mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Malaysia berhubung situasi yang berlaku di Palestin.

Kata beliau, Malaysia sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam memperjuangkan kebebasan penduduk Palestin daripada cengkaman Israel.

Ketegangan di Palestin memuncak sejak beberapa hari lalu selepas tentera Israel bertempur dengan penunjuk perasaan dan menyerbu Masjid Al-Aqsa.

Beratus-ratus penduduk cedera selepas tentera rejim melepaskan gas pemedih mata, tembakan peluru getah dan serangan bom. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN