MADRID: Lionel Messi membenarkan gajinya dipotong oleh Barcelona dengan syarat kelab menggunakan wang yang disimpan untuk menawarkan kontrak kepada bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland.
Juara La Liga 26 kali tersebut sudah memulakan rundingan dengan ejen Haaland, Mino Raiola bagi membawa penyerang berusia 21 tahun itu ke Camp Nou.
Bagaimanapun, Barca bukan satu-satunya gergasi Eropah yang memburu khidmat pemain Norway itu, mereka perlu bersaing dengan Real Madrid dan Chelsea.
Harga Haaland juga tidak murah dan Raiola menganggarkan pemain itu bernilai 154 juta pound (RM871 juta).
Messi masih menjadi penerima gaji tertinggi di Barcelona dengan 500,000 pound (RM2.83 juta) seminggu.

Biarpun masa depannya bersama Barcelona masih samar, namun penyerang Argentina itu mengumumkan untuk taat setia bersama gergasi Sepanyol tersebut, dengan syarat mereka menunjukkan hala tuju jelas, terutama dalam merekrut pemain muda.
Presiden Barcelona, Joan Laporta sudah mengemukakan kontrak baharu 10 tahun kepada pemain berusia 33 tahun itu tetapi dengan syarat gajinya dipotong separuh.
Kata Messi, dia rela berbuat demikian andai wang yang dijimatkan Barcelona digunakan untuk tujuan betul, termasuk mendapatkan Haaland.
Selain Haaland, penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez turut menjadi sasaran Barcelona, malah kelab juga berusaha membawa pulang Neymar dari Paris Saint-Germain dan dalam rundingan untuk mendapatkan Sergio Aguero yang tamat kontrak dengan Manchester City hujung musim ini. – AGENSI










