BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan menggerakkan operasi mengesan kesemua 17 peniaga di Pasar Awam Bagan Ajam di sini yang gagal menyerahkan serta mengemas kini hasil ujian calitan Covid-19 dari rumah ke rumah bermula esok.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, tindakan itu akan diambil sekiranya para peniaga terbabit masih gagal menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Utara selewat-lewatnya pukul 6 petang ini.
“Pasukan Operasi Bersepadu akan mengemukakan notis kepada peniaga-peniaga tersebut supaya segera menghubungi bilik gerakan yang berkenaan untuk temu janji.
“Sekiranya mereka (peniaga) masih ingkar, maka tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ketika ini, hanya 21 daripada keseluruhan 38 peniaga yang diarahkan untuk mengambil ujian tersebut di pasar berkenaan berbuat demikian dan telah menghantar hasil ujian calitan Covid-19 mereka untuk dikemas kini.
Dalam pada itu kata Rozali, pihaknya memutuskan melanjutkan tempoh penutupan Pasar Awam Bagan Ajam kepada 10 hari lagi khususnya di bahagian makanan dan daging khinzir bermula esok.
Katanya, langkah itu terpaksa diambil susulan terdapat lapan lagi kes positif yang dikesan di kawasan itu ketika ini.
Terdahulu, pasar awam berkenaan ditutup sejak 12 Mei lalu bagi membendung penularan Covid-19 selepas beberapa peniaga di situ disahkan positif.
Bagaimanapun, bermula kelmarin hingga hari ini hanya 64 daripada keseluruhan 282 peniaga di situ tidak dibenarkan beroperasi kembali kerana terlibat dengan penjualan barangan makanan dan daging khinzir. – UTUSAN










