GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang berjaya membanteras satu kegiatan perjudian bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026 menerusi dua serbuan berasingan ke atas dua buah pusat operasi atau ‘calling centre’ pertaruhan tersebut dalam Op Soga XI, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, dalam serbuan berkenaan, sembilan individu yang dipercayai terlibat dengan aktiviti tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, empat daripada individu terbabit yang terdiri daripada seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia antara 29 hingga 44 tahun ditahan dalam serbuan pertama di sebuah kondominium di Jalan Pantai Sinaran, Gelugor, Jumaat lalu.
“Siasatan mendapati, kediaman itu digunakan sebagai pusat operasi bagi menguruskan akaun pelanggan, menyelia transaksi serta mempromosikan pertaruhan bola sepak secara dalam talian menerusi satu laman sesawang perjudian.
“Susulan serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai peralatan berkaitan termasuk komputer, telefon bimbit dan beberapa peralatan elektronik bagi membantu siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah kondominium di Butterworth, kelmarin selepas menerima maklumat mengatakan bahawa kediaman tersebut turut digunakan sebagai pusat operasi untuk mengendalikan pertaruhan bola sepak.
“Dalam serbuan ini, lima lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 41 tahun ditahan manakala pelbagai peralatan seperti komputer, telefon bimbit dan modem internet yang dipercayai digunakan bagi tujuan pertaruhan turut dirampas,” ujar beliau.
Katanya, kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala kesemua suspek yang ditahan pula direman sehingga 30 Jun dan 1 Julai ini bagi membantu siasatan.
Dennis berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 21 serbuan telah dijalankan dengan 28 tangkapan dibuat sepanjang Op Soga XI berlangsung iaitu bermula 11 Jun lalu dengan pelbagai rampasan dilakukan termasuk wang tunai berjumlah RM8,935 yang dipercayai hasil kegiatan tersebut.-UTUSAN










