Pemergian Tze Yong tidak jejas pelan Jonassen

Pemergian Tze Yong tidak jejas pelan Jonassen

NG Tze Yong memilih untuk bergelar pemain profesional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perancangan skuad perseorangan kebangsaan tidak akan berubah secara drastik meskipun Ng Tze Yong memilih meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergelar pemain profesional.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen menegaskan, kecederaan yang dialami Tze Yong sejak tahun lalu menyebabkan perancangan terhadap pemain itu sudah lama tertangguh sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk membawa haluan masing-masing.

“Apabila saya tiba di Malaysia, dia baru pulih daripada kecederaan belakang sebelum mengalami kecederaan lutut dan perancangan mengenai masa depannya memang tertangguh sehingga kami bersedia membincangkan laluan terbaik buatnya.

“Jadi, keputusan ini sebenarnya tidak banyak mengubah perancangan saya kerana pendekatan saya sentiasa melihat setiap pemain secara individu berdasarkan laluan kerjaya dan sasaran mereka,” katanya.

Jurulatih dari Denmark itu berkata, fokusnya kini kekal tertumpu kepada pembangunan keseluruhan skuad perseorangan negara sebagaimana yang dilakukan sepanjang tempoh 12 bulan lalu.

“Sudah tentu ada sedikit perubahan, tetapi saya akan terus memberi tumpuan kepada semua pemain seperti yang saya lakukan sepanjang 12 bulan lalu.

“Saya tidak boleh terlalu lama memikirkan mengenai pemergian Tze Yong kerana tugas saya adalah memastikan pemain lain terus berkembang,” ujarnya.

Jonassen bagaimanapun mengakui pemergian pemain kelahiran Johor itu cukup mengecewakan kerana Tze Yong merupakan antara pemain yang paling dinantikannya untuk dibimbing sebaik mengambil alih tugas sebagai pengarah kejurulatihan pada tahun lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN