Mat rempit 'Selamat Hari Raya Segamat Town' dicekup - Utusan Malaysia

Mat rempit ‘Selamat Hari Raya Segamat Town’ dicekup

DUA remaja yang menunggang motosikal secara melulu dan melakukan aksi berbahaya ditahan polis di Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Keghairahan sekumpulan remaja menunggang motosikal sambil membuat aksi berbahaya seperti ‘superman’ kelmarin, membawa padah apabila mereka ditahan polis di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Raub Selamat berkata, dua suspek berusia 17 tahun dan 18 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang sebaik sahaja keterangan mereka diambil di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Penahanan itu dibuat susulan daripada video yang tular bertajuk ‘Selamat Hari Raya Segamat Town’ berdurasi 1 minit 19 saat di laman sosial Instagram milik salah seorang suspek yang ditahan.

“Berdasarkan video berkenaan, kumpulan mat rempit ini bertindak menunggang motosikal sambil mengangkat tayar hadapan (wheelie) dan berlagak seperti ‘superman’ dengan menunggang dalam keadaan laju sambil menundukkan kepala ke ‘speed meter’.

“Mereka turut bertindak berani meluruskan kedua-dua kaki ke belakang di atas tempat duduk sambil menunggang dalam keadaan laju dan secara berbahaya serta membuat aksi ‘zig-zag’ dengan mencelah di antara kenderaan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Kejadian tersebut dipercayai dilakukan sekumpulan penunggang motosikal di sekitar Bandar Segamat dan Jalan Muar-Segamat.

Tambah Raub, mereka juga menunggang motosikal secara berkumpulan dengan tidak mematuhi peraturan serta mengabaikan isyarat lalu lintas sehingga menghalang lalu lintas yang sibuk di waktu petang.

“Ia telah menimbulkan kegusaran terhadap pengguna jalan raya yang lain dan mengganggu ketenteraman orang awam apatah lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan di seluruh negara buat masa ini,” katanya.

Kedua-dua suspek direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya manakala motosikal yang digunakan semasa kejadian turut disita.

Katanya, saki baki penunggang motosikal yang terlibat dalam kejadian tersebut sedang diburu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN