Kluang pula dikenakan PKP, tunjuk kad temu janji - Ismail Sabri

Kluang pula dikenakan PKP, tunjuk kad temu janji

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak kelmarin, satu lagi daerah di Johor akan dilaksanakan arahan sama.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kluang turut bakal diwartakan PKP juga selama tempoh 14 hari bermula pada Selasa ini sehingga 24 Mei depan.

“Kementerian Kesihatan melaporkan ada empat kluster aktif di daerah ini dengan kadar positif 13 peratus manakala kadar insiden semakin parah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Malahan ujar beliau, sejak 4 Mei sehingga semalam, 512 kes positif direkodkan daripada sejumlah 3,867 ujian saringan yang meliputi beberapa perkampungan dan taman perumahan.

Pelaksanaan PKP ini tambahnya, antara usaha menyekat pergerakan penduduk terutama musim perayaan dan cuti sekolah ekoran banyak kluster dilaporkan daripada komuniti sendiri bagi mengekang penularan wabak serta mengelakkan jangkitan kes yang lazimnya disebabkan aktiviti berkumpul dan majlis sosial.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan, PKP Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Kampung Keramat, Daerah Semporna, Bahagian Tawau, Sabah mulai lusa selama 14 hari susulan 10 kes positif direkodkan daripada 101 ujian saringan dengan berlaku peningkatan jumlah kes amat ketara di lokaliti ini.  

Berkaitan rungutan orang ramai mengenai keperluan surat kebenaran polis, Ismail Sabri berkata, pesakit yang perlu merentas daerah atau negeri boleh mengemukakan kad temu janji atau rawatan doktor kepada pihak polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR).

Justeru, katanya, bagi pesakit yang ada temu janji doktor atau rawatan yang berjadual, cukup sekadar dengan mengemukakan kad tersebut.

Kelonggaran berkenaan ekoran proses surat kebenaran polis dikatakan amat menyukarkan terutama pesakit yang menghidap kanser dan buah pinggang untuk berurusan di balai polis.

Larangan merentas daerah dan negeri bakal berkuat kuasa di setiap SJR mulai esok sehingga 6 Jun depan di seluruh negara ekoran kebimbangan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat untuk patuh prosedur operasi standard (SOP) terutama merekod butiran diri atau daftar masuk premis yang semakin mula diabaikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya