KUALA LUMPUR: Perbicaraan satu lagi kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berhubung penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM27 juta yang sepatutnya bermula Julai ini telah ditangguhkan.
Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan penangguhan tersebut sewaktu pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas secara atas talian.
Perbicaraan tersebut sepatutnya bermula 5 Julai ini dan ditetapkan akan berjalan setiap hari kecuali Jumaat sehingga 29 Julai di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashraf Adrin Kamaril ketika dihubungi berkata, mahkamah turut menetapkan 16 Julai ini untuk pengurusan kes.
“Pada tarikh tersebut, pihak-pihak akan memaklumkan mahkamah sama ada tarikh perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan pada Ogos akan berjalan sebagaimana dijadualkan,” katanya.
Tambahnya, pihak pembelaan memohon penangguhan tersebut kerana terdapat kes lain yang bertindan pada tarikh yang sama.
Sementara itu, salah seorang peguam Najib, Nur Syahirah Hanapiah ketika dihubungi memaklumkan, pada prosiding hari ini, mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan baharu bagi kes berkenaan.
“Tarikh-tarikh tersebut ialah 7 hingga 10 dan 28 hingga 31 Mac 2022 serta 11 hingga 14 dan 25 hingga 28 April 2022,” ujar peguam itu.
Pada 3 Februari 2019, Najib didakwa terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta iaitu hasil aktiviti haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu pada 8 Julai 2014 di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC. – UTUSAN










