- Utusan Malaysia

ANWAR IBRAHIM pada Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Integrasi tenaga serantau perlu dipercepatkan – PM

FITRI NIZAM

KUALA LUMPUR: Krisis tenaga global berterusan dan peningkatan permintaan tenaga akibat lonjakan kecerdasan buatan (AI) menuntut Malaysia serta ASEAN mempercepatkan integrasi tenaga serantau menerusi Grid Tenaga ASEAN (APG) bagi menjamin bekalan tenaga yang selamat, mampan dan mampu milik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah mempercepatkan peralihan itu memerlukan bukan sahaja inovasi teknologi malah pelaburan, dasar dan kerjasama serantau. 

Beliau berkata, sistem tenaga hari ini sedang dibentuk semula oleh keperluan geopolitik dan teknologi, dengan satu keadaan ia menjejaskan bekalan, sementara satu lagi meningkatkan permintaannya. 

“Kecerdasan buatan sedang dengan pantas mentransformasikan ekonomi, industri dan masyarakat. Namun transformasi ini membawa implikasi (kepada penggunaan) tenaga yang besar. 

“Namun AI, jika dilihat secara positif, mewakili peluang untuk mempercepatkan usaha peralihan tenaga. 

“Sekarang, daripada meningkatkan kecekapan grid hingga meramal penjanaan tenaga boleh diperbaharui hingga mengoptimumkan penggunaan tenaga industri, AI mempunyai potensi untuk mengukuhkan sistem tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian menyampaikan ucaptama pada Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

Anwar berkata, ketika negara-negara berlumba membangunkan ekonomi digital dan memanfaatkan pertumbuhan berasaskan AI, cabaran dihadapi bukan sekadar menghasilkan lebih banyak tenaga, tetapi memastikan tenaga itu juga kekal selamat, mampu milik dan mampan. 

“Saya menekankan perkataan mampu milik kerana apa jua keputusan mengagumkan yang dikemukakan (TNB), saya akan melihat harga yang akan dibayar pengguna. 

Bagaimana mereka bertahan dalam peralihan teknologi baharu dan AI yang lebih canggih ini.

“Jadi itu, saya pernah menyampaikan kepada kakitangan TNB. Saya berkata, Sudah tentu kami kagum dengan prestasinya, tetapi kami akan gagal dalam tugas  jika tidak memastikan kejayaan itu dikongsi bukan sahaja oleh kakitangan biasa di semua peringkat, tetapi kepada pengguna, khususnya golongan miskin dan yang terpinggir,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan komitmen Malaysia terhadap pembangunan APG bukan lagi sekadar aspirasi, sebaliknya satu keperluan bagi memenuhi permintaan tenaga serantau secara lebih cekap.

Beliau berkata, cabaran tenaga dijangka menjadi lebih besar apabila permintaan tenaga di rantau ASEAN diunjurkan meningkat lebih 60 peratus menjelang 2040 susulan proses urbanisasi dan perindustrian berterusan.

“Inisiatif perintis ini sudah menunjukkan bukan sahaja kebolehlaksanaan teknikal integrasi tenaga serantau, tetapi juga keupayaan ASEAN untuk menukarkan cita-cita bersama kepada operasi yang nyata. 

“Namun kemajuan sebegini juga memaksa kita berdepan soalan selanjutnya, bagaimana kita mempercepatkan peralihan sebagai negara, ekonomi dan masyarakat ke arah sumber tenaga yang lebih bersih dan lebih mampan sambil memastikan ketahanan, kemampuan dan keselamatan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN